ENAM mayat dikerat ditemui pada Khamis dalam sebuah kenderaan di selatan Mexico, kata pihak berkuasa, ketika Presiden Andres Manuel Lopez Obrador mengecam rancangan televisyen popular mengglamorkan sindiket perdagangan dadah yang ganas.
Mayat ditemui dalam beg plastik di dalam sebuah kereta di Chilapa di negeri Guerrero, kata pendakwa raya, tanpa mengesahkan laporan terdapat kepala yang dipenggal diletakkan di atas bumbung.
Penemuan mayat dikerat dan dibuang di khalayak ramai atau digantung di jambatan semakin meningkat di Mexico beberapa tahun kebelakangan ini apabila kartel dadah berusaha untuk menakut-nakutkan pesaing mereka.
Pada Januari, sebanyak 10 mayat ditemui dalam kenderaan SUV yang ditinggalkan di depan istana gabenor di pusat bersejarah bandar utara Zacatecas.
Pada Jun 2021, dua kepala dan mayat lain ditinggalkan di pusat mengundi di bandar sempadan Tijuana pada hari pilihan raya.
Di seluruh negara, lebih 340,000 orang terbunuh dalam gelombang pertumpahan darah sejak kerajaan mengerahkan tentera untuk memerangi kartel dadah pada 2006.
Pada Khamis, Lopez Obrador mengecam siri televisyen di platform seperti Netflix, mengatakan mereka mempersembahkan versi glamor gaya hidup pengedar dadah.
Rancangan itu memaparkan “kumpulan pengedar dadah, dengan pelakon, lelaki, wanita cantik, harta benda, kereta terkini, barang kemas, pakaian berjenama, kuasa,” katanya kepada pemberita.
Tetapi mereka tidak mengendahkan “kemusnahan khususnya golongan muda. Dan kita bercakap tentang ribuan kematian. Di Amerika Syarikat, ia adalah masalah serius,” tambahnya, merujuk kepada mangsa terlebih dos dadah.
Lopez Obrador mengambil alih jawatan pada 2018 memperjuangkan strategi “pelukan bukan peluru” untuk menangani jenayah kekerasan pada akarnya dengan memerangi kemiskinan dan ketidaksamaan dengan program sosial, bukannya tentera.
Beliau meminta AS melabur dalam pembangunan ekonomi serantau dan bukannya menghantar helikopter bersenjata dan senjata lain untuk menangkap pengedar dadah. – AFP, 1 April, 2022.
Komen