Rusia buka koridor kemanusiaan dari Mariupol pada Jumaat


Ukraine menghantar puluhan bas untuk memindahkan orang awam dari Mariupol selepas pengumuman gencatan senjata Rusia. – Gambar EPA, 1 April, 2022.

RUSIA berkata koridor kemanusiaan dibuka pada pagi Jumaat untuk membolehkan orang awam keluar dari bandar pelabuhan Mariupol yang terkepung di tenggara Ukraine.

“Angkatan bersenjata Rusia akan membuka semula koridor kemanusiaan dari Mariupol ke Zaporizhzhia pada 1 April mulai 10 pagi atau 0700 GMT,” kata kementerian pertahanan Rusia.

Keputusan itu dibuat selepas “permintaan peribadi daripada Presiden Perancis (Emmanuel Macron) dan Canselor Jerman (Olaf Scholz) kepada Presiden Rusia Vladimir Putin”, katanya dalam satu kenyataan.

Zaporizhzhia terletak kira-kira 220km ke barat laut bandar pelabuhan di Laut Azov.

“Untuk menjamin kejayaan operasi kemanusiaan ini, dicadangkan ia dijalankan dengan penyertaan langsung wakil UNHCR dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa,” tambahnya, merujuk terlebih dahulu kepada agensi pelarian PBB.

ICRC berkata sebelum ini ia sedang bersiap sedia untuk memudahkan laluan selamat orang awam dari Mariupol.

Ukraine berkata ia menghantar puluhan bas untuk memindahkan orang awam dari Mariupol selepas pengumuman gencatan senjata Rusia.

Kumpulan bantuan berkata puluhan ribu orang awam terperangkap di bandar itu dengan sedikit makanan, air atau ubat-ubatan, tetapi percubaan sebelum ini untuk bersetuju mengenai koridor kemanusiaan gagal, walaupun dengan tekanan antarabangsa.

Kedua-dua pihak menuduh antara satu sama lain menghalang pemindahan. – AFP, 1 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen