TENTERA Rusia pada Selasa mengosongkan loji janakuasa nuklear Chernobyl di Ukraine selepas berminggu-minggu mendudukinya, tetapi membawa sejumlah askar tawanan Ukraine bersama mereka, kata pegawai di Kyiv pada Khamis.
“Ketika mereka melarikan diri dari loji kuasa nuklear Chernobyl, Rusia membawa anggota Pengawal Kebangsaan, yang menjadi tebusan sejak 24 Februari bersama mereka,” kata agensi nuklear negara Energoatom dalam satu kenyataan di Telegram.
Tidak jelas berapa ramai askar Ukraine dibawa pergi.
Pada awal hari itu, sebuah badan kerajaan yang bertanggungjawab ke atas zon pengecualian Chernobyl berkata semua tentera Rusia sudah beredar.
“Tiada lagi orang luar di wilayah loji kuasa nuklear Chernobyl,” kata agensi itu di Facebook.
Ketika pergi, tentera Rusia berbaris menuju ke sempadan Ukraine dengan Belarus dan sebilangan kecil tentera Rusia kekal di stesen itu, kata Energoatom awal Khamis.
“Terdapat juga bukti sekumpulan askar Rusia yang mengepung bandar Slavutych kini sedang dibentuk untuk bergerak ke Belarus,” katanya.
Slavutych menempatkan pekerja loji nuklear Chernobyl.
Sejak pencerobohan Rusia, terdapat kebimbangan mengenai peningkatan risiko radiologi di Chernobyl.
Reaktor nombor empat Chernobyl meletup pada 26 April 1986, menyebabkan insiden nuklear paling buruk di dunia yang mengorbankan ratusan orang dan menyebarkan pencemaran radioaktif ke barat seluruh Eropah.
Kawasan ini terletak berhampiran sempadan Belarus. – April, 1 April, 2022.
Komen