PRESIDEN Rusia Vladimir Putin berkata negara “tidak mesra”, termasuk semua anggota Kesatuan Eropah (EU), perlu menyediakan akaun ruble untuk membayar penghantaran gas mulai April.
Negara-negara Barat telah mengenakan sekatan yang melumpuhkan Moscow sejak ia melaksanakan operasi ketenteraan di Ukraine, termasuk pembekuan rizab matawang asingnya.
Walaupun Amerika Syarikat mengharamkan import minyak dan gas Rusia, EU – yang menerima kira-kira 40 peratus bekalan gasnya dari Rusia pada 2021 – tetap menerima penghantaran dari Moscow.
“Mereka perlu buka akaun ruble di bank Rusia. Dari akaun ini pembayaran akan dibuat untuk penghantaran gas mulai esok, 1 April,” kata Putin semasa mesyuarat kerajaan yang disiarkan di televisyen.
Putin mengumumkan yang beliau telah menandatangani dekri yang menggariskan proses “jelas dan telus”.
“Jika pembayaran sedemikian tidak dibuat, kami akan anggap ini sebagai pelanggaran kewajipan di pihak pembeli kami dengan semua akibat yang berikutnya,” kata Putin.
“Tiada siapa yang jual apa-apa kepada kami secara percuma dan kami tidak akan buat kerja amal. Ini bermakna kontrak sedia ada dihentikan” jika pembayaran tidak dibuat, tambahnya.
Menurut dekri itu, semua pembayaran akan dikendalikan oleh Gazprombank Rusia, anak syarikat gergasi tenaga negara Gazprom.
Pembeli akan memindahkan bayaran ke dalam akaun Gazprombank dalam mata wang asing, yang kemudiannya akan ditukar oleh bank kepada rubel dan pindahkan ke akaun ruble pembeli.
Komen