Ekonomi lembab, syarikat kecilkan jamuan besar Tahun Baru Cina


Briana Leong

Sambutan Tahun Baru Cina tahun ini untuk kebanyakan restoran tidak berapa meriah disebabkan syarikat enggan berbelanja besar meraikan kakitangan mereka.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 Februari, 2018.

BAGI banyak restoran, Tahun Baru Cina kali ini akan jadi suram kerana banyak syarikat tidak lagi mengadakan jamuan makan malam yang selalu diadakan untuk kakitangan mereka.

Jamuan syarikat adalah salah satu punca utama pendapatan tahunan restoran.

Tetapi untuk menjimatkan wang, banyak syarikat semakin berkira-kira mahu mengadakan majlis itu sebaliknya meminta kakitangan mereka menderma wang bagi jamuan itu yang sebelum ini dibayar sepenuhnya syarikat.

Jessica Liew, seorang pengurus restoran makanan Cina berkata kedai sepertinya terpaksa memperkenalkan pakej menu Tahun Baru Cina kerana tempahan kurang berbanding tahun lepas.

Bagi memastikan mereka masih mendapat pelanggan, restorannya memperkenalkan pakej lebih kecil untuk 10 juadah bagi 5 orang setiap meja berbanding pakej biasa 10 orang setiap meja bagi menarik perharian keluarga yang lebih kecil.

“Kami potong meja (bilangan pengguna setiap meja) separuh,” kata Liew kepada The Malaysia Insight, dia juga mengatakan yang mereka mengurangkan harga juadah untuk menarik lebih ramai pelanggan.

Restoran lain juga menjangkakan jualan yang kurang sempena musim perayaan berdasarkan trend pengguna pada awal tahun ini.

Kyna Tan dari restoran Green View Seafodd berkata perolehan untuk Januari jatuh 50% berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Banyak restoran akan tutup pada hari sebelum dan hari pertama Tahun Baru Cina, jadi restoran seperti kami yang masih buka akan terima banyak tempahan.

“Walaupun tempahan penuh, kami masih menjangkakan yang pelanggan akan pesan juadah yang lebih murah dan lebih sedikit,” kata Tan.

Katanya lagi, kebanyakan tempahan adalah untuk pakej termurah- pada harga RM1,888 dan RM1,2888 untuk hidangan 10 orang.

“Ada pelanggan tetap yang ambil pakej lebih RM2,000 tahun lepas hanya ambil pakej RM1,600 tahun ini,” katanya.

Mempunyai 50 orang pekerja, Tan berkata restorannya tidak mampu mengurangkan harga mereka kerana harga barang mentah tidak turun.

“Khinzir kami dibawa dari Vietnam. Jual beli dalam dolar AS, jadi bila ringgit jatuh, harga naik daripada RM120 seekor kepada RM240 seekor.

“Biasanya pelanggan kami akan pilih makanan laut sempena Tahun Baru Cina, harga makanan laut sentiasa naik, tak pernah turun,” katanya.

Malah, kata Tan lagi, restoran itu sudah menangguhkan pelan ubah baik restorannya sehingga ekonomi bertambah baik.

“Pembekal kami kata restoran lain pun susah sekarang. Yang kami boleh lakukan, hanya pastikan perniagaan sekarang bertahan,” katanya.

Banyak majikan tidak lagi mampu berbelanja mewah, sebaliknya meminta pekerja mereka turut menampung belanja jamuan makan malam bersama-sama. Ekonomi lembap tahun lepas serta kejatuhan ringgit menjadikan keuntungan mereka berkurangan memaksa sambutan disederhanakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 Februari, 2018.

Masih berbaloi untuk diraikan

Beberapa pekerja dan majikan yang ditemui bagaimanapun masih mahu mengadakan jamuan makan malam tahun baru walaupun syarikat mereka tidak mahu mengeluarkan belanja besar.

Low Watan, 33, yang bekerja di sebuah syarikat IT berkata majikannya tidak akan mengadakan jamuan makan malam tetapi setiap pekerja Cina di situ akan menerima sebuah hamper.

Dia dan rakan-rakannya bersetuju untuk mengadakan majlis makan malam sendiri, harganya mencecah RM1,088 sebuah meja.

“Ia bukan murah tetapi kami bersetuju untuk berseronok sebelum tahun baru. Semua orang akan pergi kecuali bos, itu peraturan semua orang tahu,” katanya.

Sophia Ong, 26, yang membantu ayahnya di syarikat cat keluarga berkata syarikat tak mampu menampung sepenuhnya kos makan malam.

“Ia tak bagus tapi saya tak boleh buat keputusan dalam perkara ini (tamping belanja sepenuhnya),” katanya kepada The Malaysian Insight. Syarikat itu selama ini menampung keseluruhan belanja makan malam untuk kakitangan malah mengupah pasukan tarian singa untuk majlis itu.

Tahun ini, semua kakitangan akan berkongsi membayarnya.

“Tahun lepas penganjur kutip RM40-RM50 setiap seorang. Kami makan di sebuah restoran di Shah Alam, yang lebih murah berbanding pusat bandar di mana sebuah meja berharga lebih RM1,000,” katanya.

Bagaimanapun, Ong mengatakan syarikat itu masih akan memberikan angpau sebanyak RM30 sehingga RM40 untuk semua pekerjanya.

Kilang yang sudah beroperasi lebih tiga dekad itu menggaji hampir 100 orang pekerja, suku daripadanya adalah pekerja asing. Levi pekerja asing dan peningkatan kos bahan mentah telah meningkatkan perbelanjaan operasi mereka.

“Kami masih perlu hantar hamper kepada pelanggan, yang berharga antara RM200 hingga RM300 setiap satu,” katanya lagi.

Walaupun begitu, ada juga majikan yang tidak lokek berbelanja terutama sekali majikan yang mempunyai pekerja tidak ramai. Mereka mengharapkan tahun ini menjadi tahun yang lebih makmur sejahtera. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 Februari, 2018.

Menaikkan motivasi pekerja

Walaupun begitu, masih ada syarikat yang berbelanja besar untuk jamuan makan malam kakitangan dan memberikan hadiah sebagai cara menaikkan motivasi pekerja.

Ng Chon Giap, 26, pemilik sebuah agensi acara, latihan dan kendiri berkata dia masih akan berbelanja untuk menjamu lima pekerjanya walaupun pendapatan syarikat itu berkurangan tahun lepas.

“2017 tahun yang teruk. Perniagaan kami terjejas kerana ekonomi, kutipan cukai dinaikkan kerajaan, perubahan dasar yang menyebabkan kami terpaksa kurang perbelanjaan.

“Saya akan adakan makan malam untuk kakitangan saya sebagai permulaan tahun baru yang lebih baik! Untuk tahun baru yang lebih makmur dan baik,” katanya.

Katanya, dia bercadang menempah satu atau dua meja untuk kakitangan dan rakan perniagaannya.

Ng berkata syarikatnya juga tetap akan memberikan angpau untuk pekerjanya bagi menaikkan motivasi mereka. Hadiah untuk rakan perniagaan dan pelanggan juga akan diteruskan untuk mengekalkan hubungan baik.

“Bila perniagaan bagus, kita boleh beri lebih banyak angpau. Bila perniagaan tak berapa bagus, tetap perlu beri walaupun hanya sedikit,” katanya.

Liew, seorang pengurus restoran pula berkata walaupun jualan tahun ini rata-rata menurun, sembilan bilik makan VIP yang dilengkapi dengan set karoke habis ditempah sepanjang 15 hari perayaan.

Setiap bilik berharga antara RM1,500 sehingga RM3,000 tetapi ia antara perkara pertama ditanya pelanggan apabila membuat tempahan di restoran itu.

“Orang suka ada tempat sendiri, mereka juga boleh berkaraoke.” – 12 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • menurun pon tapi masih lagi ade jualan kan..ini menunjukkan malaysia masih lg mampu bertahan & tak akan muflis..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan