Pejuang tak setuju wakil rakyat dianggap lompat parti walau dipecat


Diyana Ibrahim

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata bukan niat Pejuang untuk tidak menyokong akta antilompat parti tetapi butiran yang lebih terperinci perlu dicerahkan terlebih dahulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mac, 2022.

PEJUANG bimbang akta antilompat parti yang bakal diluluskan kelak turut menghukum ahli Parlimen yang dipecat dari parti masing-masing, kata presidennya Mukhriz Mahathir.

Katanya, pemecatan ahli Parlimen tidak patut ditakrif sebagai lompat parti memandangkan tindakan itu dibuat pemimpin parti dan bukannya atas keputusan wakil rakyat itu sendiri.

Kebimbangan itu timbul kerajaan mendedahkan pindaan ke atas rang undang-undang (RUU) berkenaan, katanya dalam sidang media.

“Kami dah dengar jawapan dari menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkenaan RUU antilompat parti yang bakal dibahaskan pada 11 April ini.

“Saya sedikit bimbang dengan salah satu syor di mana beliau kata pihak yang dipecat oleh partinya pun boleh dianggap sebagai lompat parti.

“Bagi kami ia wajar diperincikan semula kerana bukan ahli Parlimen itu pilih untuk melompat tapi dipecat parti,” katanya Muhriz di Kuala Terengganu.

Beliau merujuk penjelasan Wan Junaidi di Dewan Negara semalam mengenai tiga perkara utama dalam deraf RUU itu yang mentakrifkan seorang ahli Parlimen melompat parti.

Junaidi antara lain berkata, wakil rakyat dianggap lompat parti selepas mengumumkan keluar parti politik dengan menyatakan menjadi ahli Bebas atau menyertai parti politik lain selepas menang pilihan raya.

Selain itu, seorang ahli Parlimen yang dipecat oleh parti selepas menang kerusi Parlimen juga dikira melompat parti, katanya.

Ini memandangkan parti yang memecat ahli Parlimen tersebut berhadapan risiko kehilangan kerusi dan pilihan raya perlu diadakan semula, jelas Junaidi.

Mengulas lanjut Mukhriz berkata beliau bimbang jika Pejuang akan menerima tempias daripada pelaksanaan RUU tersebut.

Tambahnya, majoriti barisan pemimpin Pejuang termasuk dirinya dipecat oleh Bersatu semasa krisis parti tersebut yang berlaku dua tahun lepas.

“Kalau nak nak kata lompat, parti Bersatu itu hampir keseluruhannya yang melompat daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional (PN).

“Yang kekal berprinsip kami berenam termasuk Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Maszlee Malik. Jadi kenapa kami pula yang kena kosongkan kerusi?

“Jadi yang itu saya kira persoalan macam ini perlu dibahas dan dipersetujui apa penyelesaiannya untuk meyakinkan rakyat bahawa proses demokrasi kita ini masih boleh dipercayai,” katanya.

Ahli Parlimen Jerlun itu berkata ia bukan bermaksud Pejuang tidak menyokong RUU tersebut tapi butiran itu perlu difahami.

Mukhriz bersama Dr Mahathir Mohamad dipecat oleh Bersatu pada Mei 2020 kerana bertindak duduk di blok pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat.

Tiga pemimpin lain yang turut dipecat ialah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah.

Pemecatan itu selepas daripada Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan tumbang presiden selepas Muhyiddin Yassin mengumumkan keluar dari gabungan itu.

Terdahulu pada 2016, Muhyiddin dipecat dari Umno manakala Mukhriz dan juga seorang lagi pemimpin waktu itu, Shafie Apdal digantung dari parti tersebut. – 31 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen