Yasin Sulaiman berdepan tali gantung, penjara seumur hidup


Kalidevi Mogan Kumarappa

Penyanyi dan komposer terkenal Yasin Sulaiman mengaku tidak bersalah atas tuduhan menanam 17 pokok ganja sewaktu pertuduhan dibacakan ke atasnya di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 31 Mac, 2022.

KOMPOSER popular Yasin Sulaiman mengaku tidak bersalah ke atas tuduhan menanam 17 pokok ganja yang didakwa ditemui polis pada minggu lalu di kediamannya.

Yasin, 47 tahun, mengaku tidak bersalah sewaktu pertuduhan dibacakan ke atasnya mengikut Seksyen 6(1)(a) Akta Dadah Berbahaya di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tuduhan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya itu bagi dakwaan menanam 17 pokok ganja.

Beliau tidak merekod apa-apa pengakuan bagi satu lagi tuduhan bawah 39(B) akta sama.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap Yasin bagi kedua-dua tuduhan dan menetapkan 18 Mei untuk sebutan semula kes.

Polis dalam serbuan pada 24 Mac menemui 17 batang pokok ganja dan dua plastik berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 214 gram.

Turut ditemui beberapa radas melibatkan cecair pemusnah serangga, alat pengukur kandungan pH air, alat penyukat suhu, lampu, alat menyiram tanaman dan alat pengudaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Al-Saifi Hashim dan Asnawi Abu Hanipah manakala tertuduh diwakili peguam Yusmadi Yusoff. – 31 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen