Yasin minta Syed Saddiq usaha lulus ganja untuk perubatan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Komposer nasyid Yasin Sulaiman dituduh menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara. – Gambar The Malaysian Insight, 31 Mac, 2022.

KOMPOSER nasyid Yasin Sulaiman yang menghidap bipolar berharap presiden Muda Syed Saddiq Abdul Rahman dapat menyegerakan kelulusan tanaman ganja bagi kegunaan perubatan.

Penyanyi tersebut menyuarakan harapan berkenaan sewaktu menyapa wartawan sebaik tiba di bangunan mahkamah pagi ini bagi menghadapi dakwaan berhubung penyalahgunaan dadah.

“Sampaikan salam pada YB Syed Saddiq. Minta segerakan kelulusan,” katanya sewaktu dibawa dengan keadaan bergari oleh anggota anggota polis ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Rayuannya kepada Syed Saddiq dipercayai merujuk kepada seruan ahli Parlimen itu supaya tanaman ganja diluluskan bagi tujuan perubatan.

Ia antara lain bagi mengkaji potensi ganja yang pada waktu ini digunakan sebagai perubatan alternatif bagi penghidap kesihatan mental seperti penyakit bipolar, katanya.

Yasin pada 2018 mendedahkan beliau pernah menerima rawatan dua minggu di wad psikiatri Hospital Kuala Lumpur dan mengalami keadaan teruk kerana terlupa mengambil ubat.

Beliau mendedahkan di media sosial, sebelum mendapat rawatan di hospital, beliau mengalami gejala seperti tidak boleh tidur sehingga dua minggu lamanya.

Katanya, beliau juga mengalami mania, hiperaktif dan kecelaruan minda.

“Dalam keadaan itu saya tak berapa waras, memang tak boleh buat keputusan, bercelaru, bercakap laju, bertukar-tukar topik,” katanya dalam siaran di Instagram yang dipetik laporan media waktu itu.

Yasin, 47 tahun, mengaku tidak bersalah sewaktu pertuduhan dibacakan ke atasnya mengikut Seksyen 6(1)(a) Akta Dadah Berbahaya di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Tuduhan itu bagi dakwaan menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara.

Beliau tidak merekod apa-apa pengakuan bagi satu lagi tuduhan bawah 39(B) akta sama.

Bagi kedua-dua prosiding itu, mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap Yasin dan menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Polis dalam serbuan pada 24 Mac menemui 17 batang pokok ganja dan dua plastik berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 214 gram.

Turut ditemui beberapa radas melibatkan cecair pemusnah serangga, alat pengukur kandungan pH air, alat penyukat suhu, lampu, alat menyiram tanaman dan alat pengudaraan.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen