UiTM serah keputusan isu pensyarah hina siswa B40 kepada kementerian


Alfian Z.M. Tahir

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Prof Dr Mohd Sazili Shahibi bertemu dengan semua pihak yang terlibat dalam kes penyarah hina siswa B40. – Gambar Facebook, 31 Mac, 2022.

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) mempunyai dua pilihan dalam menangani insiden pensyarah kontraknya yang dirakam memarahi pelajar kerana tidak mempunyai komputer riba semasa mengikuti kelas dalam talian, kata badan eksekutif pengurusannya.

UiTM dalam satu kenyataan berkata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Prof Dr Mohd Sazili Shahibi bertemu dengan semua pihak yang terlibat termasuk pelajar, rakan sekelas dan pensyarah berkenaan.

UiTM menjelaskan susulan mesyuarat semalam (30 Mac), badan eksekutif pengurusan UiTM mungkin sama ada menamatkan kontrak pensyarah yang diperbaharui pada 15 Mac atau tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana beliau sudah bertemu dengan pelajar terbabit yang bersetuju menyelesaikan perkara itu secara baik.

“Keputusan UiTM adalah atas nasihat Kementerian Pengajian Tinggi,” kata universiti itu.

Susulan video kejadian yang tular, Naib Canselor UiTM Prof Roziah Mohd Janor berkata institusi itu sedang menyiasat mengenainya.

“Kejadian itu difahamkan berlaku pada semester lepas (antara September 2021 hingga Januari 2022), namun baru dimuat naik semalam.

“Kami telah mengesan pelajar itu dan memberinya peralatan yang diperlukan (komputer riba).”

Dalam video yang tular, pensyarah berkenaan dilihat memarahi pelajar itu kerana tidak mempunyai komputer riba ketika kelas dalam talian. 

Pensyarah kedengaran memberitahu pelajar itu agar meminta kakaknya menjual gelang emasnya untuk membelikan komputer riba berkenaan.

Profesor terbabit bertugas di Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur di kampus UiTM, Seri Iskandar, Perak, dan merupakan pensyarah berpengalaman, tambahnya.

Roziah menggesa pelajar yang menghadapi sebarang masalah supaya menghubungi fakulti masing-masing untuk mendapatkan bantuan sewajarnya.

UiTM menawarkan pelbagai dana untuk pelajar kurang berkemampuan, tambahnya.

“Semua pensyarah UiTM mahukan yang terbaik untuk pelajar mereka; mungkin pensyarah itu terbawa-bawa,” katanya sambil menambah beliau sepatutnya bertimbang rasa terhadap pelajar dan kakitangan. – 31 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen