SEKURANG-KURANGNYA 233 orang meninggal dunia antara 2019 hingga 2021 di hospital Venezuela akibat gangguan bekalan elektrik, satu kajian yang diterbitkan pada Rabu mendedahkan.
Venezuela yang kaya dengan minyak tetapi dilanda krisis sering mengalami masalah bekatan elektrik yang didakwa oleh penganalisis kerana kekurangan pelaburan dan penyelenggaraan infrastruktur, tetapi kerajaan berkata ia disebabkan oleh sabotaj.
“Bagi 2019, seramai 17 orang meninggal akibat gangguan bekalan elektrik. Pada 2020, seramai 75 orang dan pada 2021 pula 141 orang,” kata Tinjauan Hospital Nasional, yang disahkan oleh Akademi Perubatan Kebangsaan dan sektor pembangkang.
Tinjauan itu, dengan para doktor dari hospital utama negara mengambil bahagian, diwujudkan pada 2014 untuk mengecam kelemahan sistem penjagaan kesihatan, yang sekian lama terjejas oleh kekurangan ubat-ubatan dan bekalan, serta kegagalan bekalan elektrik dan air, serta infrastruktur yang tidak diselenggara.
Penaja kaji selidik itu, Doctors for Health NGO, mula merekodkan kematian yang boleh dikaitkan dengan gangguan bekalan tenaga yang menyaksikan elektrik terputus di seluruh negara pada 2019 selama empat hari.
Tinjauan itu berkata “sesetengah pesakit meninggal dunia kerana mereka memerlukan pengudaraan mekanikal atau kerana mereka perlu pergi ke bilik kecemasan tetapi tidak dapat dipindahkan di dalam hospital kerana tiada lif untuk berbuat demikian.”
Ia berkata lonjakan kematian pada 2021 berkaitan dengan pandemik koronavirus.
“Memandangkan ia adalah penyakit yang menjejaskan pernafasan, pesakit yang menunjukkan kes lebih serius memerlukan pengudaraan mekanikal selama beberapa hari.
“Bekalan tenaga yang tidak teratur jelas mempunyai akibat terhadap semua kes ini.” – AFP, 31 Mac, 2022.
Komen