PENYEDIA perkhidmatan minyak dan gas yang berdepan masalah kewangan, Sapura Energy Bhd, sangat memerlukan penstrukturan semula atau bantuan kerajaan kerana keputusan pengurusan yang tidak baik, namun Putrajaya perlu elak memberi jaminan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu menggunakan dana pembayar cukai, kata seorang pakar ekonomi.
Memandangkan harga minyak mentah dan gas telah bertambah baik dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pada lebih AS$100 setong, syarikat itu sepatutnya dapat keluar daripada masalah itu, sebaliknya beberapa anak syarikatnya telah diberikan notis gulung tikar.
Walaupun terdapat gesaan untuk menyelamatkan syarikat itu yang mempunyai jumlah hutang sebanyak AS$2.44 bilion (RM10.27 bilion) ketika ini, pakar ekonomi berpendapat bahawa syarikat milik persendirian tidak seharusnya diselamatkan menggunakan wang pembayar cukai.
Pakar ekonomi dari University Sunway Yeah Kim Leng berkata Sapura mungkin mengalami tahap hutang yang tinggi dan pembayaran hutang berakhir pada kedudukannya sekarang.
“Satu kemungkinan yang menjadi punca adalah tahap hutang dan pembayaran hutang boleh mengakibatkan senario ini,” kata Lim kepada The Malaysian Insight.
“Pengurusan yang lemah, ketirisan dan perbelanjaan yang berlebihan juga boleh menjadi penyumbang.”
Lim berkata analisis lebih dekat perlu dilakukan untuk melihat ke lebih dalam syarikat berkenaan bagi menentukan mengapa ia gagal.
Biar Sapura selesai hutang
Yeah berkata salah satu masalah terbesar Malaysia ialah “bahaya moral”, yang mana syarikat seperti Sapura, terlibat dalam tingkah laku berisiko atau gagal untuk bertindak dengan niat baik kerana ia tahu pihak lain, seperti kerajaan, mungkin campur tangan untuk menanggung akibat ekonomi kerana tingkah laku mereka.
“Mereka terlibat dalam kelakuan buruk dan menyerahkan urusan pembersihan kepada kerajaan. Kami telah melihatnya dalam banyak cerita korporat yang kotor.
“Keuntungan (syarikat ini) diswastakan tetapi wang pembayar cukai boleh digunakan untuk menyelamatkan mereka.
“Demi kepentingan objektiviti, biarkan pihak ketiga mengesyorkan penyelesaian, dengan langkah pertama untuk ia pergi ke sektor swasta bagi penstrukturan semula.
“Jika ia tidak berbaloi untuk disimpan, biarlah likuidasi berlaku. Pendekatan pasaran akan menjadi dasar pilihan berdasarkan keadaan kita.”
Malaysia juga tidak berada dalam kedudukan untuk menanggung hutang syarikat swasta memandangkan paras hutang negara hampir satu trilion, tambah Yeah.
Minggu lalu, Timbalan Menteri Kewangan Shahar Abdullah berkata hutang Malaysia berjumlah RM979.8 bilion atau 63.4% daripada KDNK.
“Kedudukan fiskal kita sangat tinggi. Kerajaan tidak berada dalam kedudukan yang kukuh untuk memberikan jaminan kepada usaha komersial,” kata Yeah.
“Ia akan menjadi tanggungjawab jangka panjang bukan sahaja kepada pembayar cukai semasa, tetapi juga generasi akan datang.
“Kita sudah mempunyai perkara seperti 1MDB untuk dibayar. Kita harus lebih bijak dalam membelanjakan wang ke atas pelaburan yang buruk, “kata Yeah.
Sapura harus melihat kepada syarikat seperti Petronas atau syarikat asing yang sanggup menyuntik modal, tambahnya.
“Terdapat cukup pelabur di luar sana yang mencari aset yang bagus untuk dibeli, syarikat yang boleh mereka laburkan dengan murah. Itu sepatutnya caranya.”
Petronas baru-baru ini menolak spekulasi bahawa ia sedang berbincang dengan kerajaan untuk mengambil “pegangan penting” dalam Sapura. – 31 Mac, 2022.
Berita penuh di sini
Komen