SEBUAH pesawat Rusia membawa 71 penumpang terhempas di Moscow hari ini sebaik berlepas dari lapangan terbang Domodedovo, lapor media negara itu.
Pesawat Antonov An-148 yang dikendalikan oleh Saratov Airlines itu membuat penerbangan ke Orsk, iaitu sebuah bandar di Urals dan terhempas di daerah Ramensky di pinggir Moscow.
Agensi berita Rusia melaporkan pesawat itu membawa 65 penumpang dan enam anak kapal.
Saksi di kampung Argunovo memberitahu agensi berita mereka ternampak sebuah pesawat terbakar dan jatuh terhempas.
Sumber dari perkhidmatan kecemasan Rusia memberitahu Interfax, 71 penumpang itu “tidak berpeluang” untuk selamat.
Agensi sama melaporkan bangkai pesawat itu berselerak di sebuah kawasan yang luas di sekitar lokasi kejadian.
Saratov Airlines membeli pesawat buatan Rusia berusia tujuh tahun itu dari syarikat penerbangan Rusia lain setahun lalu.
Menurut media Rusia, perkhidmatan kecemasan tidak dapat tiba ke lokasi kejadian melalui jalan raya dan pasukan penyelamat terpaksa berjalan kaki ke sana.
Sumber di Domodenovo, iaitu lapangan terbang kedua terbesar di Moscow memberitahu agensi yang pesawat itu hilang dari radar dalam masa dua minit.
Menurut agensi, menteri pengangkutan sedang dalam perjalanan ke lokasi kejadian.
Kementerian pengangkutan berkata beberapa punca kemalangan sedang dipertimbangkan termasuk keadaan cuaca dan kesilapan manusia.
Gabenor wilayah Orenburg, tempat di mana pesawat itu menuju memberitahu media Rusia bahawa “lebih dari 60 orang” dalam pesawat itu berasal dari wilayah itu.
Berikutan kemalangan itu, pihak pendakwa telah membuka siasatan terhadap Saratov Airlines. – AFP, 11 Februari, 2018.
Komen