KDN materai kontrak perolehan RM2.6 bilion


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata KDN menandatangani sembilan dokumen projek dengan syarikat tempatan bagi memastikan aset keselamatan sentiasa siap siaga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2022.

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menandatangani sembilan dokumen projek dengan syarikat tempatan dengan nilai keseluruhan RM2.6 bilion hari ini.

Kontrak dengan jumlah paling besar melibatkan empat projek untuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bernilai RM2.2 bilion.

Turut ditandantangani tiga kontrak untuk polis bernilai RM249 juta dan satu untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bernilai RM124 juta.

Ia ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz di pameran keselamatan Pameran Defence Services Asia (DSA) 2022 dan National Security Asia (NATSEC) 2022.

Nilai kontrak untuk tiga projek lain bagaimanapun tidak didedahkan, melibatkan perolehan peralatan satelit X-Band untuk polis dan projek naik taraf Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia.

Nilai kontrak untuk projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) untuk imigresen juga tidak didedahkan.

Nama syarikat terbabit juga tidak didedahkan.

Selain lapan kontrak berkenaan, beliau turut menandatangani satu memorandum persefahaman berkaitan.

Ia ditandatangani bersama oleh Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) Yusof Ismail dan wakil syarikat terlibat.

Ia disaksikan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin yang berkata ia sebahagian usaha KDN dalam perancangan perolehan bagi memastikan aset keselamatan sentiasa siap siaga.

“Dalam usaha memanifestasikan komitmen berkenaan, KDN telah menandatangani satu MoU dan lapan kontrak.

“Majlis menandatangani MoU dan kontrak KDN ini juga merupakan simbolik usaha kerajaan untuk memastikan keselamatan negara terpelihara dari segala ancaman…” katanya. – 30 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen