KESELAMATAN nyawa dan keperluan kemanusiaan rakyat Ukraine perlu mendapat jaminan, kata Naib wakil tetap China di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Dai Bing pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB.
China menyeru pihak terlibat dalam konflik Ukraine-Rusia supaya mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan mengelakkan rakyat jelata menjadi korban atau cedera.
Selain itu keselamatan bagi proses perpindahan dan kemasukan pihak penyelamat juga mesti diberi jaminan selain memastikan bekalan barang kehidupan asas seperti makanan, air minuman dan ubat-ubatan serta meningkatkan perlindungan terhadap golongan lemah termasuk wanita dan kanak-kanak.
Sehubungan itu, China menyokong pejabat penyelarasan kemanusiaan PBB dan Program Makanan Sedunia (WFP) membantu Ukraine dan negara jirannya yang menghadapi keperluan kemanusiaan dengan mengamalkan prinsip kemanusiaan, berkecuali dan adil.
Dai berkata sekatan komprehensif menyeluruh hanya akan menjejaskan lagi sumber tenaga, makanan, ekonomi perdagangan dan pasaran kewangan, sehingga mengganggu norma kehidupan rakyat.
“Negara-negara membangun yang berkecuali dalam konflik Ukraine ini tidak sepatutnya menerima akibat konflik geografi dan percaturan negara besar.
“Sementara itu, cabaran besar dihadapi keselamatan makanan global perlu dititik berat.
“Sekatan ekonomi akan menjejaskan rantai pembekalan bahan makanan sedunia serta kenaikan harga makanan, sekali gus memberi bebanan yang tidak sepatutnya kepada negara membangun,” kata Dai.
Justeru katanya China menyeru agar penyelarasan antarabangsa ditingkatkan untuk menstabilkan pembekalan dan harga makanan, serta mencegah langkah sekatan pengeskportan yang tidak rasional supaya menjamin keselamatan bahan makanan global.
Dai turut menekankan masyarakat antarabangsa perlu menggalakkan Russia dan Ukraine untuk terus menjalankan rundingan langsung.
“Pada masa sama, Amerika Syarikat, NATO dan Kesatuan Eropah (EU) perlu berdialog dengan Russia untuk memastikan keperluan keselamatan munasabah pelbagai pihak, di samping membentuk rangka keselamatan serantau yang seimbang, berkesan dan mampan.
“China akan terus berusaha memainkan peranan membina bagi meredakan ketegangan dan menyelesaikan krisis berkenaan,” katanya. – Bernama, 30 Mac, 2022.
Komen