Menguasai bahasa Inggeris, bahasa Melayu sama penting


DALAM kita sibuk memperkasa atau memperkukuh penggunaan bahasa Melayu ataupun bahasa kebangsaan, kita tidak seharusnya mengabaikan sepenuhnya penggunaan dan pemantapan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat.

Memang benar, bahasa Inggeris itu bukanlah bahasa asal negara kita dan memang benar bahasa Inggeris itu bahasa penjajah. Namun, kita tidak boleh terlalu emosi kerana suka atau tidak, bahasa Inggeris merupakan bahasa pengantar terpenting dan paling utama di dunia pada masa kita.

Bahasa Inggeris juga bahasa ilmu yang perlu dikuasai sekiranya kita ingin membawa negara bergerak ke hadapan.

Penggunaan bahasa Inggeris sudah lama dipraktikkan di negara kita semenjak sebelum merdeka lagi. Penggunaan bahasa Inggeris tidak membawa sebarang masalah yang besar terhadap kemajuan negara serta keamanan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Yang boleh menjadi masalah atau penghalang besar kepada kemajuan sesebuah negara dan keamanan dalam masyarakat adalah diri kita sendiri kerana kurang bijak, dan bukannya kerana penggunaan sesuatu jenis bahasa.

Jangan jadikan isu berkaitan dengan penggunaan bahasa Inggeris sebagai kambing hitam ataupun alasan untuk menutupi sebarang kelemahan negara, masyarakat ataupun diri kita sendiri.

Penting juga isu berkaitan bahasa Inggeris tidak dipolitikkan mana-mana pihak demi kepentingan politik sempit mereka.

Usaha harus diambil bagi memantapkan lagi penggunaan bahasa Inggeris di negara ini seperti usaha yang diambil terhadap penggunaan bahasa Melayu.

Usaha ini harus dilakukan pada peringkat awal lagi terhadap para pelajar di peringkat sekolah. Sebarang usaha yang diambil untuk memantapkan penguasaan bahasa pengantara (lingua franca) iaitu bahasa Inggeris khususnya dalam kalangan pelajar di semua peringkat selama ini tidak harus dipandang serong dan rendah oleh mana-mana pihak.

Ia perlu dilihat sebagai salah satu langkah menyediakan pelajar menjadi golongan yang lebih berkemahiran serta  mampu berdaya saing pada masa akan datang.

Tumpuan bagi memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan para pelajar ini juga tidak seharusnya dilihat bakal meminggirkan penguasaan terhadap mana-mana bahasa ibunda tempatan kerana banyak usaha juga diambil bagi memantapkan penguasaan bahasa ibunda tempatan.

Bahasa Inggeris kini bahasa keempat (atau mungkin bahasa ketiga, bergantung kepada sumber) yang paling banyak dituturkan di seluruh dunia dengan lebih 380 juta penutur. Ia mempunyai status ”lingua franca” atau ”bahasa perantara” di kebanyakan negara.

Bahasa Inggeris juga sekarang paling banyak digunakan dan merupakan bahasa kedua yang paling banyak dipelajari di serata dunia. Kebanyakan pelajar di seluruh dunia digalakkan belajar bahasa Inggeris. Penguasaan terhadap bahasa Inggeris juga dilihat menjadi pilihan utama untuk diambil bekerja.

Dewasa ini, masalah kelemahan pelajar menguasai bahasa Inggeris dilihat merisaukan, tidak kira di peringkat sekolah rendah, menengah atau di institusi pengajian tinggi (IPT).

Antara punca utama kelemahan yang dikenal pasti ialah sikap dan pemikiran pelajar itu sendiri yang jarang mempraktikkan penggunaan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian.

Kebanyakan pelajar juga didapati kurang membaca bahan ilmiah yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Kebanyakkan mereka lebih selesa membaca bahan yang menggunakan bahasa ibunda yang mereka sudah biasa gunakan setiap hari sejak lahir. 

Ada juga pelajar yang memandang bahasa Inggeris hanya sebagai satu subjek yang mesti diambil sebagai memenuhi syarat untuk tamat proses pengajian ataupun sekadar untuk lulus peperiksaan. Ada juga menganggap bahasa Inggeris mata pelajaran yang membosankan serta membebankan.

Oleh demikian, mustahil bagi mereka untuk meminati, menjiwai sekaligus menguasai bahasa antarabangsa itu.

Pelajar juga tidak mahu melatih diri mereka untuk bertutur dalam bahasa Inggeris ketika bersama rakan. Ada juga pelajar yang tidak mahu mencuba untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris kerana berasa malu dan takut sekiranya mereka melakukan kesalahan ketika berkomunikasi dan menjadi mangsa ejekan orang sekeliling.

Masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan para pelajar juga ditambah lagi dengan kurangnya sokongan orang dewasa sekeliling yang tidak memahami kepentingan penguasaannya.

Oleh demikian, penting supaya semua pihak mengambil langkah yang perlu bagi memastikan pelajar kita dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik serta menggunakannya tanpa malu dan takut.

Semua pelajar di semua peringkat harus diberi lebih banyak latihan dan kursus kemahiran untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris mereka.

Pelajar juga perlu diberi dorongan serta semangat supaya mereka tidak malu dan takut untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam komunikasi seharian.

Pelajar yang tidak fasih bertutur bahasa Inggeris tidak harus dipandang rendah serta dipersendakan. Pelajar yang didapati masih lemah perlu dibantu  supaya dapat menguasai dan bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik dan dengan penuh keyakinan.

Tidak boleh dinafikan bahasa Inggeris mempunyai kepentingan yang besar dalam hidup kita terutamanya kepada pelajar. Sama ada suka ataupun tidak, bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa pada masa kini. Ia juga perlu dilihat sebagai bahasa komunikasi yang utama selain bahasa tempatan.

Penguasaan dalam bahasa Inggeris serta bahasa lain yang sudah mula mendapat tempat di peringkat antarabangsa seperti bahasa Arab dan Mandarin juga amat penting untuk menjadikan generasi muda lebih berkemahiran dan berdaya saing sama ada di dalam negara ataupun di peringkat antarabangsa.

Pelajar kita perlu mempunyai kesedaran terhadap kepentingan penguasaan bahasa antarabangsa untuk masa depan diri mereka sendiri. Semua pihak juga harus mempunyai kesedaran yang sama.

Penguasaan bahasa Inggeris bukan bermakna kita mendaulatkan bahasa yang sering dianggap sebagai ”bahasa penjajah” itu serta meminggirkan bahasa ibunda tempatan.

Ia perlu dilihat sebagai satu usaha atau langkah membantu generasi muda untuk mengharungi masa depan yang lebih mencabar serta penuh pancaroba. – 30 Mac, 2022.

* Muzaffar Syah Mallow ialah pensyarah Fakulti Syariah & Undang-Undang USIM.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen