Asean, Kanada perkukuh kerjasama untuk kepentingan bersama


Jawatankuasa Kerjasama Bersama Asean-Kanada sepakat untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan. – Gambar fail EPA, 30 Mac, 2022.

MESYUARAT Ke-10 Jawatankuasa Kerjasama Bersama Asean-Kanada pada Isnin sepakat untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

Pegawai kekal komited untuk mengukuhkan agenda mengenai wanita, keamanan dan keselamatan, keselamatan siber, kecemasan dan kesediaan kesihatan awam, ekonomi digital serta pembangunan dan alam sekitar yang lestari.

Bidang lain termasuk ketersambungan, inovasi, bandar pintar, dan pembangunan modal insan melalui pendidikan dan pertukaran antara rakyat.

Kedua-dua pihak menantikan aktiviti sambutan yang akan dilaksana sebagai menandakan Ulang Tahun ke-45 Hubungan Dialog Asean-Kanada tahun ini, menurut Sekretariat Asean dalam satu kenyataan.

Pegawai dari kedua-dua pihak juga menekankan kepentingan usaha sama yang dilaksanakan untuk menangani pandemik Covid-19.

Asean menghargai sokongan Kanada untuk menyumbang 3.5 juta dolar Kanada dalam tempoh lima tahun kepada Dana Respons Covid-19 Asean dan penyediaan topeng pernafasan kepada Asean pada 2021.

Mesyuarat sidang video itu dipengerusikan bersama oleh Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke Asean Azhan Mohammed Yasin dan Kuasa Usaha Misi Kanada ke Asean Vicky Singmin.

Mesyuarat itu menyatakan kemajuan ketara yang dicapai dalam melaksanakan Pelan Tindakan 2021-2025, yang akan terus menyokong usaha Asean untuk mengetengahkan keamanan, keselamatan dan kemakmuran di rantau ini. – Bernama, 30 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen