Trump minta Putin dedah maklumat tentang anak Biden


Donald Trump sudah lama mendakwa anak presiden Amerika Syarikat Hunter Biden (kiri) menerima dana daripada Elena Baturina, isteri mendiang Datuk Bandar Moscow Yuri Luzhkov. – Gambar EPA, 30 Mac, 2022.

DONALD Trump menyeru Presiden Rusia Vladimir Putin, yang melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine bulan lalu, untuk mendedahkan sebarang maklumat yang mungkin beliau miliki mengenai anak Presiden Amwerika Syarikat Joe Biden, Hunter.

Bekas presiden Amerika Syarikat (AS) itu sudah banyak kali melemparkan tuduhan terhadap Hunter Biden, sejak pilihan raya presiden 2020.

Dalam petikan wawancara yang disiarkan Selasa oleh rancangan Real America’s Voice “Just the News”, Trump mendakwa isteri datuk bandar Moscow memberikan AS$3.5 juta kepada Hunter Biden.

“Itu wang yang banyak,” katanya. “Dia bagi AS$3.5 juta jadi sekarang saya rasa Putin akan tahu jawapannya. Saya rasa dia patut dedahkan.”

“Saya rasa kita patut tahu jawapan itu,” tambahnya.

Trump telah lama mendakwa Hunter Biden menerima dana daripada Elena Baturina, isteri mendiang Datuk Bandar Moscow Yuri Luzhkov.

Dalam kempen pilihan raya untuk 2016 yang dimenanginya, Trump secara terbuka menyeru Moscow untuk mendedahkan e-mel yang hilang daripada pesaingnya dari Demokrat Hillary Clinton.

“Rusia, jika anda dengar, saya harap anda dapat cari 30,000 e-mel yang hilang, saya fikir anda mungkin akan diberi ganjaran yang besar oleh akhbar kami,” kata Trump dalam sidang media Julai 2016.

Putin melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine pada 24 Februari, dengan rakyat Ukraine membayar harga yang tidak teruk dalam serangan yang sedang disiasat sebagai jenayah perang.

Joe Biden telah mengetuai tindak balas Barat terhadap sekatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan menyalurkan senjata serta bantuan kepada Kyiv, yang telah menimbulkan tentangan sengit ke atas Moscow.

Biden sendiri telah melabel Putin sebagai penjenayah perang dan baru-baru ini menyatakan beliau “tidak boleh kekal berkuasa” selepas tindakannya di Ukraine. – AFP, 30 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen