RUSIA telah mengatur semula sebahagian kecil tenteranya berhampiran Kyiv tetapi tidak berundur, malah mungkin sedang bersiap untuk melakukan serangan besar di tempat lain di Ukraine, kata Pentagon pada Selasa.
“Kami lihat sebilangan kecil ketika ini nampaknya akan berpindah dari Kyiv, ini pada hari sama di mana pihak Rusia kata mereka akan berundur,” kata jurucakap Pentagon John Kirby.
Kirby bercakap hanya beberapa jam selepas Timbalan Menteri Pertahanan Rusia Alexander Fomin berkata Moscow akan mengurangkan pertempuran di sekitar Kyiv dan bandar utara Chernigiv selepas kemajuan dibuat dalam rundingan damai yang diadakan di Istanbul.
“Apa yang saya boleh beritahu anda ialah sebahagian besar pasukan yang bertempur di Kyiv masih ada,” kata Kirby. “Kami hanya melihat sebilangan kecil mula berpindah dari Kyiv, kebanyakannya ke utara.
“Rusia telah gagal dalam objektifnya untuk menawan Kyiv,” kata jurucakap Pentagon, tetapi “tidak bermakna ancaman terhadap Kyiv telah berakhir.”
“Kami tidak bersedia untuk memanggil ini sebagai pengunduran atau penarikan diri,” katanya. “Kami berpendapat apa yang mereka fikirkan adalah penempatan semula untuk memberi keutamaan di tempat lain.
“Kita semua harus bersedia untuk lihat serangan besar terhadap kawasan lain di Ukraine,” katanya menambah terdapat “peningkatan aktiviti serangan” oleh tentera Rusia di Donbas.
Sebagai tambahan kepada Pentagon, pengumuman itu disambut dengan beberapa keraguan oleh Rumah Putih.
“Kita harus lihat dengan jelas tentang realiti apa yang berlaku di lapangan dan tiada siapa yang patut tertipu dengan pengumuman Rusia,” kata Pengarah Komunikasi Rumah Putih Kate Bedingfield kepada pemberita. – AFP, 30 Mac, 2022.
Komen