RIBUAN penduduk berdemonstrasi pada Selasa di Haiti bagi mengecam peningkatan kes penculikan dan kekurangan tindakan oleh kerajaan Perdana Menteri Ariel Henry untuk melindungi penduduk daripada kumpulan jenayah.
Negara Caribbean telah berada di bawah pengaruh kumpulan samseng selama berbulan-bulan, pengaruh mereka meluas jauh melangkaui kawasan kejiranan miskin ibu kota Port-au-Prince..
“Menurut makluman yang kami terima, saya akan mengatakan bahawa antara lima dan 10 orang diculik setiap hari, dengan kemuncak kadang-kadang sehingga 20 orang sehari,” kata Marie-Rosy Auguste Ducena, seorang aktivis dengan Rangkaian Nasional untuk Perlindungan Hak Asasi Manusia.
Wilayah di sekitar ibu kota “telah menjadi kawasan jenayah,” katanya
“Kami tidak menjalani kehidupan seperti biasa di Port-au-Prince. Orang ramai lumpuh sama sekali: ia adalah pemerintahan dalam ketakutan,” kata Jean-Robert Argant, penyelaras kolektif 4 Disember, salah satu pertubuhan yang menggesa demonstrasi.
Lebih memburukkan keadaan, penculik kadang-kadang berpakaian seragam polis untuk melakukan jenayah mereka.
“Bayangkan masalah yang ditimbulkan ini”, kata Argant. “Apabila polis yang jujur misalknya mahu melakukan pemeriksaan, rakyat cenderung melarikan diri kerana tidak tahu sama ada itu polis sebenar atau penculik yang menyamar sebagai polis,” katanya.
Di Port-au-Prince, demonstrasi besar-besaran berlangsung bandar itu selama lebih tiga jam di bawah kawalan polis, melaungkan slogan menentang kerajaan dan polis, yang pegawainya sering dituduh gagal menentang kumpulan bersenjata.
“Kami bosan ditembak, diculik: kami minta Encik Ariel Henry, kerana beliau telah membuktikan tidak mampu, untuk berundur,” kata penunjuk perasaan Robens Dorvil.
Di Les Cayes, bandar ketiga terbesar Haiti, sekumpulan penunjuk perasaan menyerbu lapangan terbang dan membakar sebuah pesawat kecil mubaligh AS.
“Pasukan kami di darat selamat. Kami sedang bersedia untuk membawa mereka kembali ke AS dengan selamat,” kata Agape Flights yang berpangkalan di Florida dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa penerbangan lanjut minggu ini telah dibatalkan.
Media tempatan melaporkan seorang terbunuh dan beberapa cedera terkena peluru apabila polis bergerak menentang kumpulan yang menyerang pesawat itu. – AFP, 30 Mac, 2022.
Komen