BADAN promosi pelancongan Korea Selatan membatalkan rancangan untuk menyediakan bilik solat mudah alih bagi penonton temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 ekoran bantahan keras dari pendesak anti-Islam.
Laporan Al-Jazeera menyebut, Korea Tourism Organisation (KTO) tidak menyangka akan menerima bantahan yang sebegitu ekstrem dari kumpulan terbabit.
Ketua bahagian pelancongan bandar Gangneung berkata, Kang Suk-ho berkata pihaknya bercadang untuk menyediakan bilik kemudahan solat di kota tersebut yang menjadi venue acara Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018.
“Kami terima bantahan keras dari beberapa kumpulan agama yang membantah dan mengugut untuk mengadakan protes semasa Sukan Olimpik Musim Sejuk.
“Kami duduk bersama mereka untuk berbincang, tetapi akhirnya kami terpaksa batalkan rancangan itu,” kata Kang seperti dipetik dalam laporan Al Jazeera.
Kang “sangat kecewa” dengan bantahan begitu ekstrem dari pertubuhan yang dikenali sebagai Pyeongchang Olympics Gangwon Citizens’ Islam Countermeasure Association.
Ruang solat itu merupakan sebahagian dari rancangan KTO untuk mempromosikan negara itu mesra Islam dan meningkatkan jumlah pelancong Islam semasa Sukan Olimpik Musim Sejuk yang bermula Jumaat lalu.
Hanya 0.2% dari 55 juta penduduk Korea Selatan beragama Islam, namun negara tersebut menerima peningkatan jumlah pengunjung muslim sejak beberapa tahun lalu.
Data KTO menyebut jumlah itu meningkat 33% pada 2016 berbanding tahun sebelumnya dan jumlah itu mencecah 1.2 juta menjelang akhir 2017.
Keputusan itu disambut dengan kecewa oleh pertubuhan Islam negara itu, Korean Muslim Federation (KMF).
“Temasya Sukan Olimpik sepatutnya melangkaui sempadan negara, kaum, budaya dan agama untuk mencapai keharmonian.
“Keputusan ini menunjukkan bahawa kita, sebagai negara tuan rumah, kurang ketelitian pemikiran,” kata jurucakap KMF, Lee Ju-hwa dalam satu kenyataan kepada Al Jazeera.
Gangneung menjadi tuan rumah bagi semua acara olahraga tertutup bagi Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018. – 11 Februari, 2018.
Komen