Parlimen perlu adakan sidang khas perjelas isu MySejahtera, kata C4


Noel Achariam

Kerajaan masih berunding terma dengan MySJ Sdn Bhd untuk melanggan perkhidmatan aplikasi MySejahtera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2022.

PARLIMEN mesti mengadakan sidang khas untuk Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberikan penjelasan penuh dan memuaskan berhubung isu aplikasi MySejahtera, kata Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).

C4 menuntut penjelasan serta jaminan yang prosiding masa depan berkaitan pemerolehan menepati piawaian ketelusan dan akauntabiliti seperti diharapkan daripada institusi awam.

“Oleh itu, Pusat C4 menggesa Khairy memberikan penjelasan yang lengkap dan memuaskan, dan bagi ahli Parlimen untuk membahaskan apakah langkah seterusnya yang boleh diambil untuk memberikan penyelesaian kepada isu ini.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menyiasat dan mendedahkan sebarang kemungkinan rasuah dan pelanggaran undang-undang yang membawa kepada keputusan ini oleh menteri Kabinet,” kata C4 dalam satu kenyataan.

Khairy berkata kerajaan masih berunding terma dengan MySJ Sdn Bhd untuk melanggan perkhidmatan aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata perjanjian jumlah yang dikatakan antara pembangun asal aplikasi itu, Entomo Malaysia Sdn Bhd, dan pemegang lesen, MySJ Sdn Bhd, tiada kaitan dengan rundingan kerajaan.

“Jumlah yang mereka (MySJ Sdn Bhd) persetujui dengan Entomo tidak ada kena mengena dengan rundingan kerajaan.

“Saya boleh memberitahu anda bahawa jumlah yang kita rundingkan jauh lebih rendah daripada RM300 juta. Ia jauh lebih rendah daripada itu,” kata Khairy.

Semalam, CodeBlue melaporkan, memetik dokumen mahkamah, yang harta intelek dan lesen perisian untuk MySejahtera akan dijual oleh pemaju asal, Entomo Malaysia Sdn Bhd, kepada pengurus baharu aplikasi itu, MySJ Sdn Bhd, pada harga RM338.6 juta.

Jumlah itu adalah untuk perjanjian sehingga 2025 dan didedahkan dalam dokumen undang-undang dalam saman difailkan oleh seorang pemegang saham MySJ, P2 Asset Management Sdn Bhd.

Entomo Malaysia dahulunya ialah KPISoft Malaysia Sdn Bhd, yang membangunkan dan memiliki perisian proprietari yang digunakan untuk membina aplikasi MySejahtera. – 29 Mac, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen