Peguam kecam amaran PAS kepada Loh


Raevathi Supramaniam

AMARAN parti PAS berhubung permohonan Loh Siew Hong untuk menukar agama anak-anaknya daripada Islam boleh dianggap sebagai campur tangan dalam proses kehakiman, kata peguamnya Srimurugan Alagan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan “amaran” parti Islam itu kepada sesiapa yang cuba menukar agama kanak-kanak itu daripada Islam selepas Loh memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa bekas suaminya tidak layak dari sisi undang-undang menukar agama mereka kepada Islam.

Ketua penerangan parti, Khairil Nizam Khirudin memberi amaran tegas kepada sesiapa sahaja yang ingin menukar agama anak Loh.

“Umat Islam di negara ini akan bersatu demi keselamatan aqidah mereka,” tulis Khairil di Facebook tanpa memberitahu apa akibat daripada amarannya itu.

Srimurugan berkata sebarang bentuk ugutan, secara nyata atau tersirat, malah amaran, yang tidak menggalakkan pihak litigan daripada meneruskan hak undang-undangnya di mahkamah, bersamaan dengan campur tangan serius terhadap pentadbiran keadilan dan merupakan jenayah penghinaan terhadap mahkamah.

“Kami mengecam sebarang bentuk ugutan, tekanan, atau kempen fitnah terhadap Puan Loh Siew Hong,” kata peguam itu dalam satu kenyataan.

“Kami menggesa semua pihak mengelak daripada membuat sebarang kenyataan berhubung kes itu, kerana ia boleh mencetuskan kebencian dan menimbulkan ketegangan yang tidak perlu di kalangan pelbagai kaum di negara ini.”

Srimurugan tidak menggalakkan tokoh agama daripada menghasilkan lebih banyak video atau membuat ulasan lanjut berkaitan kes itu kerana ia melibatkan mahkamah.

“Kita harap kes ini tidak dipolitikkan dan proses perundangan dibenarkan berjalan.

“Kami percaya pada proses undang-undang dan kami meletakkan kepercayaan kepada badan kehakiman untuk menyelesaikan pertikaian antara pihak secara baik.”

Loh baru-baru ini bertemu semula dengan anak perempuan kembarnya berusia 14 tahun dan anak lelaki berusia 10 tahun selepas cuba mencari mereka selepas berpisah dan bercerai dengan bekas suaminya, yang kini sedang menjalani hukuman di penjara.

Beliau mendapati anak-anaknya bertukar agama tanpa persetujuannya dan ditempatkan di rumah kebajikan di Perlis.

Mahkamah baru-baru ini mengekalkan perintah kehakiman sebelum ini yang memberikan hak penjagaan kepada beliau. – 29 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen