Australia alu-alukan warga Vietnam dengan visa pertanian


Menteri Pertanian Australia David Littleproud berkata industri pertanian tempatan di negara itu kekurangan kira-kira 20,000 pekerja. – Gambar EPA, 29 Mac, 2022.

RAKYAT Vietnam yang mempunyai visa pertanian sangat dialu-alukan bekerja di ladang dan komuniti serantau di seluruh Australia, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik Ketua Eksekutif Persekutuan Peladang Kebangsaan Australia (NFF) Tony Mahar.

Beliau membuat kenyataan itu selepas Australia menandatangani Memorandum Persefahaman dua hala pertama dengan Vietnam di bawah Program Visa Pertaniannya pada Isnin.

Mahar berkata program itu penting untuk membantu sektor pertanian Australia menangani kekurangan tenaga kerja bagi sektor yang bernilai AU$100 bilion (AS$70 bilion) menjelang 2030.

Sebahagian besar hasil bijirin, daging lembu dan buah-buahan Australia sudah dieksport ke Vietnam, katanya, sambil menambah kehadiran lebih ramai pekerja Vietnam ke ladang Australia akan menggalakkan lagi hubungan itu.

Sementara itu, Menteri Pertanian Australia David Littleproud berkata industri pertanian tempatan kekurangan kira-kira 20,000 pekerja. 

Program visa itu akan menerima pekerja asing mahir, separuh mahir dan berkemahiran rendah dalam sektor seperti pertanian, penternakan tenusu, bulu, bijirin, perikanan dan perhutanan.

Menteri itu menyebut ia menandakan perubahan terbesar dalam struktur buruh. Program berkenaan bukan sahaja menerima pekerja tidak mahir tetapi juga mahir dan separuh mahir serta membuka peluang penempatan tetap di Australia untuk pekerja.

Pada fasa pertama, ia akan menumpukan kepada pekerjaan berkemahiran rendah. – Bernama, 29 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen