EU desak Taliban benarkan remaja perempuan ke sekolah


Sekumpulan remaja perempuan belajar di rumah seorang guru di Kabul, berikutan kerajaan Taliban larang remaja perempuan ke sekolah menengah. – Gambar EPA, 29 Mac, 2022.

KESATUAN Eropah (EU) mengecam keputusan Taliban melarang lebih sejuta gadis Afghanistan menerima pendidikan peringkat menengah, dan yakin langkah itu mengurangkan peluang agar gerakan itu mendapat perakuan yang “diingini”.

Kementerian pendidikan Afghanistan mengumumkan kanak-kanak perempuan dibenarkan menghadiri kelas setakat darjah enam manakala pembelajaran peringkat atasan harus menunggu sehingga keputusan diumumkan kelak, lapor Sputnik.

“Kesatuan Eropah dan negara anggota, bersama rakan kongsi antarabangsa mengecam keputusan Taliban menafikan hak akses pendidikan lebih sejuta gadis Afghanistan.

Ia pencabulan terhadap hak asasi semua kanak-kanak untuk mendapat akses pendidikan, termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, dan beberapa peraturan hak asasi manusia antarabangsa, di mana Afghanistan juga pihak kepada deklarasi itu, menurut kenyataan Majlis EU.

Keputusan itu merendahkan peluang Taliban mendapatkan pengiktirafan yang ditunggu-tunggu, dan ia merupakan komitmen Taliban kepada masyarakat awam serta rakyat dan rakan kongsi antarabangsa, menurut kenyataan itu.

“Kami tidak boleh bekerjasama dengan kerajaan (Taliban) ini, jika ia terus menjauhkan diri daripada parameter yang kami rasa penting untuk dianggap sebagai rakan sejawatan.

“Keadaan ini meletakkan kami dalam situasi yang sangat sukar,” ketua dasar luar EU Josep Borrell memberitahu Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Parlimen Eropah pada Isnin.

Ia petanda buruk untuk masa depan Afghanistan, tambah Borrell.

Peralihan kuasa Taliban di Afghanistan pada Ogos tahun lalu mencetuskan kegawatan ekonomi dan krisis kekurangan bekalan makanan yang mendorong negara itu terjerumus dalam krisis kemanusiaan. – Bernama, 29 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen