RIBUAN penduduk di timur Australia diarah meninggalkan rumah mereka ketika ribut melanda di kawasan bandar dan bandar yang masih belum pulih daripada kejadian banjir minggu lalu.
Beberapa perintah pemindahan dikeluarkan untuk bandar Lismore, yang musnah bulan lalu apabila air setinggi 14.3 meter menaiki rumah, menghanyutkan kereta dan penduduk tempatan terkandas di atas bumbung rumah mereka.
Beratus-ratus mangsa banjir terpaksa diselamatkan dengan ramai mengharungi banjir dengan bot persendirian dan juga berkayak kerana bantuan kecemasan terganggu.
Perkhidmatan kecemasan negeri dilaporkan berkata anggota tambahan, kenderaan, bot dan helikopter dikerahkan sebelum ramalan ribut dan banjir kilat yang mengancam nyawa pada Selasa lalu.
Penduduk Lismore bersiap sedia menghadapi hujan lebat, degan sebuah pusat pemindahan banjir di bandar yang ditubuhkan oleh akhbar Pribumi Nasional Australia, The Koori Mail terpaksa dipindahkan.
Banjir pada Februari lalu meragut sekurang-kurangnya 21 nyawa di seluruh Queensland dan New South Wales dan menyebabkan beribu yang lain kehilangan tempat tinggal, kebanyakannya tinggal sementara di kawasan yang dijangka dilanda hujan lebat minggu ini.
“Memandangkan kawasan tadahan kini tepu, akan ada peningkatan risiko banjir kilat yang berbahaya dan mengancam nyawa serta tanah runtuh ketika kejadian ini,” kata biro cuaca negara dalam amaran semalam. – AFP, 29 Mac, 2022.
Komen