POLIS mempertingkat persediaan dan pemantauan keselamatan di sempadan negara yang akan dibuka semula bermula 1 April, kata Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.
Katanya, Pasukan Gerakan Am (PGA) sudah digerakkan untuk meningkatkan pemantauan di lokasi terbabit khususnya di utara dan selatan semenanjung serta di Sabah dan Sarawak.
“Apabila sempadan dibuka, kita akan kembali kepada asal dan seperti agensi lain, polis juga membuat persediaan khususnya di kawasan sempadan.
“Elemen pemantauan oleh PGA juga akan dipertingkatkan dan kita berharap dengan pembukaan sempadan ini, ia akan memudahkan orang awam,” katanya.
Beliau berkata, polis juga akan melakukan beberapa program berkaitan pembukaan sempadan di beberapa negeri, dimulai di Kelantan dan Kedah.
“Kita mahu tunjukkan kepada orang ramai bahawa kita sudah bersiap sedia untuk menangani apa juga perkara yang timbul susulan pembukaan sempadan ini,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada awal bulan ini mengumumkan sempadan negara dibuka semula Jumaat ini dan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan.
Ia antara lain membenarkan pengembara lengkap vaksinasi merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian saringan Covid-19, termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan. – 29 Mac, 2022.
Komen