PELAKON Will Smith memohon maaf kepada Chris Rock kerana melempang pelawak itu ketika majlis Oscars berlangsung, dan pada masa sama badan penyelia anugerah itu berkata ia akan melancarkan siasatan rasmi terhadap insiden itu.
Smith – yang dinobatkan sebagai pelakon terbaik pada malam itu – naik ke pentas ketika Rock membuat lawak tentang rambut isteri Smith, Jada.
“Saya mohon maaf secara terbuka kepada anda, Chris. Saya melampaui batas dan saya salah. Saya malu,” kata bintang filem “King Richard” itu di Instagram.
“Keganasan dalam apa juga bentuk adalah beracun dan memusnahkan. Sikap saya malam tadi di Anugerah Akademi tidak boleh diterima,” kata Smith.
“Lawak saya faham adalah sebahagian daripada kerja, tetapi buat lawak tentang keadaan kesihatan Jada, ia sesuatu yang terlalu berat untuk saya tanggung dan saya reaksi saya sangat beremosi,” katanya.
Jada mengalami penyakit alopecia, sejenis penyakit auto imun yang menyebabkan keguguran rambut, dan hadir pada majlis itu dalam keadaan hampir botak.
Anugerah Akademi ke-94 itu hampir ke penghujung acara ketika Rock melawak berkata Jada bersiap sedia untuk tampil dalam filem “G.I. Jane 2” – filem tentang askar wanita yang botak kepalanya.
Pada awalnya, Smith cuba untuk ketawa dengan lawak itu, tetapi kemudian beliau naik ke pentas dan melempang Rock.
Beliau kemudian kembali ke tempat duduknya dan menjerit: “Jangan sebut nama isteri saya.”
Smith kemudian memohon maaf kepada calon lain dan Akademi – tetapi tidak kepada Rock – beberapa minit kemudian ketika beliau menerima anugerahnya.
“Rasa cinta akan membuatkan anda buat banyak perkara gila,” katanya.
Semalam, beliau sekali lagi membuat permohonan maaf.
“Saya juga ingin memohon maaf kepada Akademi, penerbit acara ini, semua hadiri dan semua orang yang menontonnya di seluruh dunia.
“Saya minta maaf kepada keluarga William dan keluarga saya di King Richard. Saya sangat kesal dengan tindakan saya yang mencemarkan ini, sedangkan perjalanan kita semua amat indah.”
Selebriti terkejut dan terpempan dengan tindakan Smith, dengan ada yang mempertahankan tindkaannya dan sebahagian yang lain mengutuk perbuatan itu. – AFP, 29 Mac, 2022.
Komen