Taktik Rusia di Ukraine 'ulangan' perang Syria, kata Amnesty 


Amnesty International berkata Rusia melakukan jenayah perang dengan membuat serangan ke atas orang awam dan penggunaan senjata yang dilarang di bawah undang-undang antarabangsa.– Gambar EPA, 29 Mac, 2022.

AMNESTY International pada Selasa menyelar “jenayah perang” di Ukraine, ketika jumlah kematian orang awam terus meningkat selepas pencerobohan Rusia.

Ia turut menyamakan situasi di Ukraine dengan keadaan perang Syria.

“Apa yang berlaku di Ukraine adalah pengulangan daripada apa yang telah kita lihat di Syria,” kata setiausaha agung badan pemerhati hak asasi global itu Agnes Callamard kepada AFP.

Beliau berkata demikian ketika pelancaran laporan tahunan kumpulan hak asasi manusia mengenai keadaan hak asasi manusia di dunia yang berlangsung di Johannesburg.

“Kita melampaui serangan sembarangan. Kita berada di tengah-tengah serangan yang disengajakan ke atas infrastruktur awam,” katanya, menuduh Rusia mengubah koridor kemanusiaan menjadi “perangkap maut”.

“Kami lihat perkara yang sama di sini, seperti yang dilakukan Rusia di Syria”.

Pengarah Amnesty di Eropah Timur Marie Struthers bersetuju, memberitahu taklimat berasingan di Paris bahawa penyelidik di Ukraine telah “mendokumentasikan penggunaan taktik yang sama seperti di Syria dan Chechnya,” termasuk serangan ke atas orang awam dan penggunaan senjata yang dilarang di bawah undang-undang antarabangsa.

Membandingkan bandar Mariupol yang terkepung, dengan bandar Syria Aleppo, diarah oleh Presiden Bashar al-Assad, dengan bantuan kuasa udara Rusia, Callamard berkata “pemerhatian kumpulan pelobi hak asasi pada ketika ini, adalah peningkatan dalam jenayah perang,” katanya. – AFP, 29 Mac, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen