KUMPULAN Wagner Rusia telah mengerahkan tentera upahannya ke timur Ukraine, kata kementerian pertahanan UK pada hari Isnin, sambil menambah bahawa lebih 1,000 anggota tentera berkenaan akan mengambil bahagian dalam pertempuran berikutan kemunduran Rusia.
“Syarikat Tentera Persendirian Rusia Kumpulan Wagner telah dikerahkan ke timur Ukraine,” kata kementerian pertahanan UK menerusi Twitter.
“Mereka dijangka mengerahkan lebih 1,000 askar upahan, termasuk pemimpin kanan pertubuhan itu, untuk menjalankan operasi tempur,” kata kementerian itu.
Dikenali sebagai rapat dengan Presiden Vladimir Putin, Kumpulan Wagner dan askar upahannya disyaki melakukan penderaan di Mali, Libya dan Syria.
“Disebabkan kerugian besar dan pencerobohan yang terhenti, Rusia berkemungkinan besar terpaksa mengutamakan semula kakitangan Wagner untuk Ukraine dengan mengorbankan operasi di Afrika dan Syria,” kata kementerian pertahanan UK.
Britain minggu lalu mengenakan lebih banyak sekatan ke atas individu dan entiti Rusia, termasuk Kumpulan Wagner, berhubung pencerobohan ke atas Ukraine pada 24 Februari. – AFP, 29 Mac, 2022.
Komen