AMERIKA Syarikat menghantar enam pesawat penyekat radar ke Jerman untuk meningkatkan keupayaan Nato, kata Pentagon pada Isnin.
Jurucakap Pentagon John Kirby bagaimanapun berkata penghantaran pesawat jenis EA-18G Growler bukan untuk digunakan bagi menentang tentera Rusia di Ukraine.
“Mereka ditempatkan sepenuhnya selaras dengan usaha kami untuk meningkatkan keupayaan pencegahan dan pertahanan Nato di sepanjang sayap timur itu.”
Kirby berkata pesawat berkenaan yang berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Laut Pulau Whidbey di Washington itu dijangka tiba di Pangkalan Udara Spangdahlem di Jerman pada Isnin
Beliau berkata pesawat itu, yang merupakan versi F/A-18 yang diubah suai untuk digunakan dalam peperangan elektronik, menggunakan sensor untuk mengelirukan radar musuh dan sistem pertahanan udara.
Jurucakap Pentagon berkata 240 anggota tentera laut akan mengiringi pesawat itu ke Jerman.
Dalam cadangan bajet yang dikeluarkan pada Isnin, Rumah Putih mendedahkan rancangan untuk membelanjakan AS$6.9 bilion bagi membantu Ukraine menangkis pencerobohan Rusia dan menyokong negara anggota Nato.
Amerika Syarikat telah meningkatkan bantuan untuk Ukraine berikutan pencerobohan Rusia, termasuk bantuan keselamatan dan kemanusiaan.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mendesak negara Nato untuk menghantar lebih banyak senjata ke Ukraine, termasuk jet pejuang canggih, sistem pertahanan peluru berpandu, kereta kebal, kenderaan berperisai dan peluru berpandu anti-kapal.
Amerika Syarikat setakat ini menolak untuk menghantar kapal terbang atau sistem senjata besar lain ke Ukraine.
Presiden Joe Biden berkata beliau tidak mahu melangkaui batas yang mana katanya boleh mencetuskan Perang Dunia Ketiga. – AFP, 29 Mac, 2022.
Komen