SEORANG bekas pengurus syarikat pengangkutan berkaitan kerajaan (GLC) akan didakwa di mahkamah esok atas dakwaan memberi kontrak bernilai RM80,000 kepada syarikat kepunyaan isterinya.
Sumber agensi antirasuah berkata lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu menggunakan jawatannya untuk menyokong syarikat milik isteri mendapatkan kontrak mengangkut bahan mentah komoditi.
Beliau didakwa memberikan sokongan itu pada Ogos 2019.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata lelaki itu, yang kini bertugas sebagai pengurus di syarikat milik isterinya, ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 2 petang tadi.
“Dia ditahan ketika hadir untuk memberi keterangan di SPRM Selangor.
“Dia akan didakwa di Mahkamah Shah Alam esok,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – 28 Mac, 2022.
Komen