AHLI Parlimen Johor Bahru Shahrir Abdul Samad berkata tidak adil jika Umno dan Barisan Nasional (BN) dipersalahkan atas kekecohan yang berlaku semasa satu ceramah Pakatan Harapan (PH) di kawasannya pada malam tadi.
Shahrir berkata, rakaman video yang dilihatnya mengenai kejadian di Bakar Batu itu tidak menunjukkan mana-mana individu yang memakai logo parti BN.
“Saya hanya melihat insiden malam tadi daripada video di Facebook (Adun Stulang) Andrew Chen kerana saya menghadiri acara di tempat lain dalam kawasan saya ketika itu.
“Apa yang saya lihat hanyalah simbol parti DAP, PKR, dan Bersatu di baju-T kumpulan Chen termasuk Lim Kit Siang, ahli Parlimen Gelang Patah. Saya tidak melihat sebarang baju-T Umno dan BN dipakai penduduk kampung.
“Oleh itu, tidak adil menyalahkan Umno atau BN atas kejadian di Kampung Bakar Batu malam tadi,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.
Shahrir berkata, beliau juga tidak mengetahui alasan berlaku provokasi daripada penduduk kampung yang baru selesai aktiviti keagamaan di surau kampung berkenaan.
Shahrir menjawab kenyataan dari PH Johor yang mendakwa kejadian itu melibatkan penyokong BN dan menuntut permohonan maaf darinya.
Pemimpin PH itu percaya bahawa kumpulan yang membuat kekecohan itu dari BN dan Umno berdasarkan lambang dan tulisan pada kemeja-t yang dipakai kumpulan individu terbabit.
Program itu dijadualkan berlangsung pada pukul 9 malam semalam di sebuah premis dan diacarakan oleh Setiausaha Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu Johor, Osman Sapian.
Namun ia terganggu apabila pemilik premis terbabit menghentikan program tersebut kerana didakwa menerima tekanan daripada penduduk.
Kekecohan kemudiannya tercetus apabila ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang mengadakan sidang akhbar selepas bekalan elektrik diputuskan di premis tersebut, lapor China Press.
Selain Lim, Chen dan Osman, acara tersebut turut menampilkan Adun Pengkalan Rinting Cheo Yee How dan Ketua Penerangan PKR Johor, Akmal Nasir.
Mengulas lanjut, Shahrir yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) berkata, Kit Siang juga bebas untuk menemui pengundi di Johor Bahru, sama seperti ketika tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu. – 11 Februari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan