Perkhidmatan kereta api mewah Vietnam beroperasi semula 1 April


The Vietage hanya mempunyai 12 tempat duduk, termasuk  restoran, bar dan perkhidmatan urut, direka khas demi memastikan keselesaan dan privasi terbaik untuk penumpang. – Gambar Facebook, 28 Mac, 2022.

VIETAGE, perkhidmatan gerabak kereta api pelancongan mewah, akan dibuka semula kepada pelancong mulai 1 April, menurut Perbadanan Perkhidmatan Kereta Api Vietnam (VNR).

Gerabak mewah itu akan dihubungkan dengan kereta api SE5 di Stesen Da Nang pada pagi dan kembali dengan rangkaian kereta api SE8 dari Stesen Dieu Tri di Binh Dinh pada sebelah petang hari sama, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Dilancarkan pada Julai 2020, The Vietage hanya mempunyai 12 tempat duduk, termasuk  restoran, bar dan perkhidmatan urut, direka khas demi memastikan keselesaan dan privasi terbaik untuk penumpang.

Pada akhir 2021, CNN menamakan The Vietage sebagai satu daripada enam perkhidmatan kereta api Asia yang menawarkan pengembaraan menakjubkan.

Menurut CNN: “Bagi pengembara yang mencari pengalaman yang lebih selesa, The Vietage menawarkan sesuatu yang berbeza – dengan harga AS$350 seorang untuk perjalanan sehala.”

“Pemandangannya mendamaikan: kerbau meragut di padang yang luas, perkampungan yang indah bersilih ganti dan pemandangan yang menghijau menggamit penumpang untuk merakam gambar. Di dalam gerabak, meja marmar, skrin rotan dan ruang peribadi membangkitkan suasana romantik dalam menempuh perjalanan bersama kereta api vintaj”. – Bernama, 28 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen