TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima tiga helikopter operasi maritim (HOM) buatan Itali mengikut jadual, bermula April ini dan seterusnya pada September, kata Panglima Tentera Laut Mohd Reza Mohd Sany.
Helikopter utiliti jenis AW 139 itu dilengkapi dengan RDR 1700A radar pencarian dan mesingan 12.7 milimeter.
Katanya, dua helikopter akan diterima pada April sementara baki satu lagi pada September.
“Ketiga-tiga helikopter ini akan berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau ditemui di reruai TLDM sempena Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022.
TLDM ketika ini sudah mengoperasikan masing-masing enam helikopter Super Lynx dan AS555SN Fennec sejak 2003.
Perolehan tiga buah HOM dengan peruntukan kira-kira RM220 juta ini bakal menggandakan lagi keupayaan Unit Udara TLDM termasuk dalam operasi hantaran udara.
Model AW139 merupakan helikopter saiz sederhana yang terbaik dalam kelasnya turut digunakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dengan lebih 900 pesawat telah dibina.
Reza juga mendedahkan pihaknya dalam perancangan untuk menambah kapal misi pesisir (LMS) kumpulan kedua.
“TLDM dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sedang mengusahakan belanjawan pada tahun ini.
“Kita jangkakan tiga LMS diperlukan dan senarai negara pengeluar sudah disenarai pendek antaranya China, Belanda dan Turki,” katanya. – 28 Mac, 2022.
Komen