Will Smith tampar Chris Rock di pentas Oscar


Dalam kejadian di Teater Dolby itu, pelakon Will Smith (kanan) menaiki pentas dan berjalan ke arah pelawak Chris Rock (kiri) sebelum menamparnya dan kembali ke tempat duduknya di samping isterinya Jada Pinkett Smith dan menjerit kata-kata mencarut. – Gambar AFP, 28 Mac, 2022.

PELAKON Will Smith menaiki pentas Oscar dan menampar pelawak Chris Rock kerana bergurau tentang isterinya ketika gala pada Ahad yang segera tular selain membuatkan penonton terpegun.

Rock, yang menyampaikan hadiah dokumentari terbaik dengan rutin komedi pendek, telah membuat lawak membandingkan kepala botak Jada Pinkett Smith dengan penampilan Demi Moore dalam filem “G.I. Jane” selain mencadangkan beliau muncul dalam sekuel.

Dalam kejadian di Teater Dolby itu, Smith menaiki pentas dan berjalan ke arah Rock sebelum menamparnya dan kembali ke tempat duduknya di samping Jada dan menjerit kata-kata mencarut.

“Jangan sebut nama isteri aku guna mulut sial kau,” jerit Smith, memaksa penerbit memotong beberapa saat audio dari siaran televisyen di Amerika Syarikat.

Jabatan Polis Los Angeles berkata ia “sedar” tentang insiden itu yang “melibatkan seorang individu menampar seorang lagi,” tetapi “individu terbabit telah menolak untuk membuat laporan polis.”

“Sekiranya pihak terbabit mahukan laporan polis di kemudian hari, LAPD akan bersedia untuk melengkapkan laporan siasatan,” tulis kenyataan jabatan yang diperoleh AFP.

Jada Pinkett Smith, yang juga seorang pelakon, mengalami alopecia, dan mendedahkan diagnosisnya secara terbuka pada 2018.

Menurut Scott Feinberg dari The Hollywood Reporter, yang hadir, Smith yang sebak perlu “ditepikan dan dihiburkan” oleh rakan pelakon Denzel Washington dan Tyler Perry semasa rehat komersial.

Kemudian, penyanyi rap dan penerbit Sean “Diddy” Combs berkata: “Will dan Chris, kita akan selesaikan macam keluarga. Sekarang, kita teruskan dengan cinta.”

Smith, 53, merujuk kepada insiden huru-hara itu dalam ucapan penerimaannya untuk pelakon terbaik, yang dimenanginya untuk peranannya sebagai bapa kepada pemain tenis hebat Venus dan Serena Williams dalam “King Richard.”

Dengan air mata mengalir di pipinya, Smith berkata “Richard Williams adalah pembela keluarganya yang garang,” dan bahawa “seni meniru kehidupan.”

“Saya macam bapa yang gila, sama seperti yang mereka katakan tentang Richard Williams. Tetapi cinta akan membuatkan anda buat perkara gila,” tambahnya.

“Saya harap Akademi menjemput saya kembali,” kata Smith selepas meminta maaf kepada penganjur acara dan rakan-rakan penamanya. – AFP, 28 Mac, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen