Ukraine dakwa ada kebakaran terbaharu di Chernobyl


Tentera Rusia menawan loji nuklear Chernobyl pada 24 Februari, hari pertama pencerobohan. Pada 1986 reaktor nombor empat Chernobyl meletup yang menyebabkan kemalangan nuklear paling teruk di dunia, mengorbankan ratusan orang selain menyebarkan pencemaran radioaktif ke seluruh Eropah. – Gambar EPA, 28 Mac, 2022.

KEBAKARAN telah berlaku di zon pengecualian sekitar loji kuasa nuklear Chernobyl yang tidak berfungsi, yang diduduki oleh tentera Rusia, menurut pihak berkuasa Ukraine.

“Kebakaran telah bermula di zon pengecualian, yang boleh membawa akibat yang sangat serius,” kata Timbalan Perdana Menteri Iryna Vereshchuk di Telegram pada Ahad.

“Bagaimanapun, hari ini adalah mustahil untuk mengawal dan memadamkan kebakaran sepenuhnya kerana zon itu dikawal pasukan Rusia.”

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa berkata pada Ahad “keadaan kekal tidak berubah” berhubung perlindungan di Chernobyl dan loji nuklear lain di Ukraine.

Badan pemantau nuklear PBB minggu lalu berkata kebakaran hutan di sekitar Chernobyl tidak menimbulkan risiko radiologi yang besar.

Sejak 9 Mac IAEA tidak menerima data langsung daripada Chernobyl. Pada Ahad IAEA berkata ia bimbang tentang kekurangan kakitangan di loji itu sejak 20 Mac.

Tentera Rusia menawan loji itu pada 24 Februari, hari pertama pencerobohan.

Reaktor nombor empat Chernobyl meletup pada 26 April 1986, menyebabkan kemalangan nuklear paling teruk di dunia yang mengorbankan ratusan orang dan menyebarkan pencemaran radioaktif ke seluruh Eropah.

Bangunan nombor empat reaktor itu kini terbungkus dalam sarkofagus berganda besar untuk mengehadkan pencemaran radioaktif.

Sarkofagus asal, yang dibina oleh Soviet, merosot sejak beberapa tahun. Sebuah yang baru dibina di atasnya siap pada 2019.

Tiga lagi reaktor loji itu ditutup secara beransur-ansur selepas bencana itu, yang terakhir pada 2000. – AFP, 28 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen