Zelensky pertimbang tuntutan Rusia menjelang rundingan damai 


Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky tuntutan Rusia akan dibincangkan dan dikaji dengan teliti.– Gambar EPA, 28 Mac, 2022.

PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelensky pada Ahad berkata kerajaannya mempertimbangkan tuntutan Rusia dengan berhati-hati.

Kenyataan itu berikutan kedua-dua pihak bersedia untuk pusingan baharu rundingan bertujuan menamatkan perang yang berlarutan selama sebulan.

“Titik rundingan ini boleh saya fahami dan ia sedang dibincangkan, ia sedang dikaji dengan teliti,” kata Zelensky semasa wawancara dengan beberapa pertubuhan berita bebas Rusia.

Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sekurang-kurangnya 1,100 orang awam terkorban dan lebih 10 juta telah kehilangan tempat tinggal dalam peperangan dahsyat yang berlangsung jauh lebih lama daripada jangkaan pemimpin Moscow.

Rundingan baharu itu akan bermula di Turki pada hari Isnin atau Selasa, menurut laporan dibuat selepas tentera Rusia berkata ia akan mula memberi tumpuan kepada timur Ukraine dalam satu langkah yang dilihat beberapa penganalisis sebagai mengurangkan cita-cita Moscow.

Tetapi Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mempersoalkan tafsiran itu—dan mungkin telah mengganggu rundingan yang akan datang dengan mengatakan di Warsaw bahawa Presiden Rusia Vladimir Putin “tidak boleh kekal berkuasa”.

Kenyataan itu mencetuskan kemarahan di Moscow dan menimbulkan kebimbangan meluas di Washington dan luar negara, seolah-olah melemahkan usaha Biden sendiri dalam lawatan Eropah untuk menggariskan perpaduan yang dibuat dengan teliti dalam menyokong Kyiv. – AFP, 28 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen