Wilayah pemberontak Ukraine mungkin adakan undian sertai Russia


Wilayah Lugansk yang pro-Russia diisytiharkan merdeka oleh Presiden Vladimir Putin baru-baru ini. – Gambar EPA, 27 Mac, 2022.

KETUA wilayah pemisah Lugansk hari ini berkata pihaknya mungkin mengadakan referendum untuk menjadi sebahagian daripada Russia, selepas Moscow menghantar tentera ke negara jirannya yang pro-Barat.

“Saya fikir dalam masa terdekat ini satu referendum akan diadakan di wilayah republik itu, di mana rakyat akan… menyatakan pendapat mereka untuk menyertai Persekutuan Russia.

“Atas sebab tertentu, saya pasti ini akan berlaku,” lapor agensi berita Russia yang memetik kenyataan pemimpinnya, Leonid Pasechnik.

Russia melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine pada akhir Februari lalu dengan alasan bertindak untuk mempertahankan dua wilayah pemisah di timur Ukraine, Donetsk dan Lugansk.

Beberapa hari lalu, Presiden Russia Vladimir Putin mengiktiraf kedua-dua wilayah itu sebagai merdeka.

Kawasan perindustrian, terutama di wilayah yang menggunakan bahasa Russia terpisah daripada kawalan Kyiv pada 2014 dalam pertempuran yang berlanjutan selama beberapa tahun dan meragut lebih 14,000 nyawa.

Pada tahun sama, Russia merampas wilayah Crimea daripada Ukraine selepas seorang pemimpin pro-Moscow digulingkan dalam satu pemberontakan dan referendum diadakan di wilayah selatan untuk menjadi sebahagian daripada Russia. – AFP, 27 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen