GABUNGAN diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara di Yaman pada Ahad selepas pemberontak Houthi di negara itu mengadakan gencatan senjata selama tiga hari dan menawarkan gencatan senjata secara kekal, lapor media Saudi.
Serangan itu menyasarkan Sanaa, ibu negara yang dikuasai pemberontak, menurut TV Al Ekhbariya Arab Saudi, yang menulis di Twitter “permulaan serangan udara ke atas kem Houthi dan kubu kuat di Sanaa” sekitar tengah malam.
Serangan bermula sejurus selepas Houthi yang disokong Iran mengumumkan gencatan senjata selama tiga hari dan menawarkan rundingan damai dengan syarat Arab Saudi menghentikan serangan udara dan sekatan ke atas Yaman dan menghapuskan “tentera asing”.
Laporan pemberontak mengenai angka korban tidak dapat disahkan.
Gencatan senjata Houthi menyusuli gelombang serangan dron dan peluru berpandu ke atas sasaran Arab Saudi pada Jumaat, termasuk depot minyak berhampiran trek Formula Satu Jeddah semasa sesi latihan yang disiarkan di televisyen.
Ia diumumkan pada ulang tahun ketujuh campur tangan yang diketuai oleh Arab Saudi yang kaya dengan minyak di Yaman, jirannya yang miskin, selepas Houthi merampas Sanaa pada 2014.
Konflik itu membunuh ratusan ribu orang secara langsung atau tidak langsung dan berjuta-juta kehilangan tempat tinggal, mewujudkan apa yang disebut oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
Houthi menolak jemputan untuk menghadiri rundingan damai di Riyadh, yang akan dihoskan oleh enam negara Majlis Kerjasama Teluk. – AFP, 27 Mac, 2022.
Komen