MALAYSIA, Indonesia dan Filipina akan menyemak semula persefahaman Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) yang memberi fokus kepada keselamatan dan pertahanan di Laut Sulu.
Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata pemimpin ketiga-tiga negara akan bermesyuarat esok, pada kesempatan di luar Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) yang juga bermula esok.
“Saya ingin mengumumkan yang akan mengadakan satu mesyuarat TCA bersama pemimpin pertahanan daripada Indonesia dan Filipina sempena DSA ini untuk semak semula persefahaman antara ketiga-tiga negara di Laut Sulu, berikutan berdepan ancaman yang sama di situ.
“TCA ini sudah dimulakan lebih awal sebelum ini, dan semak semula perlu dilakukan untuk mengembangkan sektor keselamatan tiga negara juga,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan tapak DSA.
TCA sebelum ini bertujuan membalas ancaman yang dihadapi di perairan ketiga-tiga negara namun selepas ini, ia akan memberi fokus kepada cara mengemudi geopolitik, mengenai keselamatan dalam negeri dan isu lain seperti penculikan dan tebusan, kata Hishammuddin.
“Apabila membabitkan isu keselamatan dalam negeri, sudah tentu kita akan berbincang dengan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dan rakan sejawatannya mengenai penculikan dan tebusan, keganasan yang berlaku di perairan kita.
“Pendekatannya perlu kreatif dan berani, pada masa yang sama perlu fokus ke hadapan. Kita sudah ada sebelum ini, kita hanya mahu menyemak semula, kita ada rondaan tentera laut bersama, rondaan udara antara tentera udara ketiga-tiga negara dan latihan darat yang akan dibincangkan,” katanya.
Sementara itu, Hamzah berkata, isu membabitkan keselamatan sempadan negara tidak patut diletakkan atas bahu Kementerian Pertahanan semata-mata sebaliknya perlu diberi perhatian oleh semua pihak.
“Contoh terbaik adalah Ops Benteng yang dijalankan sejak dua tahun lalu, yang membuktikan kedua-dua kementerian berjaya lakukannya secara bersama. Apabila hendak pertahankan sempadan negara, kami perlu lakukan secara bersama.
“Disebabkan itu, kami akan menghasilkan satu pelan yang komprehensif untuk dikemukakan kepada kerajaan. Ia tidak fokus kepada Sabah sahaja sebaliknya semua sempadan termasuk Kalimantan-Sarawak, Thailand-Semenanjung, Selat Melaka dan lorong-lorong tikus di Batam, Indonesia,” katanya.
Pameran DSA dan NATSEC Asia 2022 akan berlangsung dari 28 hingga 30 Mac ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
DSA dan NATSEC Asia 2022 terbuka kepada delegasi peringkat tinggi, kakitangan kerajaan, profesional dan eksekutif dalam industri pertahanan dan keselamatan serta kakitangan polis dan agensi penguatkuasaan sahaja.
Pameran berkenaan akan turut dilengkapi dengan platform maya sebagai komponen nilai tambah bagi membantu peserta mengakses kandungan sebelum, semasa dan selepas pameran, selain dijangka lebih 1,000 syarikat dari 54 negara akan menyertai acara ini. – 27 Mac, 2022.
Komen