KANADA dan Suruhanjaya Eropah semalam mengumumkan rancangan untuk melancarkan usaha mengumpul dana bersama bagi membantu pelarian Ukraine.
Kempen “Stand Up for Ukraine” yang dijalankan dengan kerjasama NGO Global Citizen akan berusaha untuk menggerakkan kerajaan, institusi, artis, syarikat dan individu untuk memberi dana bagi menyokong usaha kemanusiaan di Ukraine dan di negara jiran, kata satu kenyataan.
Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen.
Kedua-duanya akan menjadi tuan rumah bersama persidangan penderma.
Mereka berkata mereka memberi maklum balas terhadap seruan daripada Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky yang mempromosikan perhimpunan dalam talian “Stand Up for Ukraine” pada 9 April.
“Saya menjemput semua orang; pemuzik, pelakon, atlet, ahli perniagaan, ahli politik dan semua orang,” katanya.
Hampir 3.8 juta orang melarikan diri dari Ukraine sejak tentera Rusia menyerang pada 24 Februari, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan Poland mengambil bahagian yang paling besar.
PBB menganggarkan 6.5 juta yang lain kehilangan tempat tinggal di dalam negara - bermakna kira-kira satu daripada empat rakyat Ukraine diarah keluar dari rumah mereka. – AFP, 27 Mac, 2022.
Komen