White House cadang cukai minimum baharu untuk jutawan


Pengasas SpaceX dan Tesla Elon Musk dijangka perlu membayar cukai tambahan AS$50 bilion jika cadangan menaikkan kadar oleh White House diluluskan. – Gambar EPA, 27 Mac, 2022.

PENTADBIRAN Presiden AS Joe Biden akan memasukkan lebih banyak cukai kepada jutawan rakyat Amerika dalam cadangan belanjawan 2023, yang akan dikeluarkan pada Isnin, lapor media AS pada Sabtu.

“Cukai Pendapatan Minimum Jutawan” memerlukan 700 atau lebih isi rumah Amerika yang bernilai lebih AS$100 juta membayar sekurang-kurangnya 20% daripada pendapatan penuh mereka, lapor Washington Post dan media AS lain, memetik dokumen White House.

“Cukai minimum ini akan memastikan rakyat Amerika terkaya tidak lagi membayar kadar cukai lebih rendah daripada guru dan anggota bomba,” kata dokumen itu, dipetik oleh Washington Post.

Kajian oleh pentadbiran Biden pada musim luruh ini mendapati 400 isi rumah jutawan membayar purata hanya 8.2% cukai bagi pendapatan mereka antara 2010 hingga 2018, kadar yang selalunya jauh lebih rendah berbanding kebanyakan isi rumah Amerika.

Cukai itu juga akan mensasarkan keuntungan belum terealisasi dalam nilai aset cair, seperti saham, yang tidak dikenakan cukai sehingga ia dijual.

Langkah baharu itu, yang memerlukan kelulusan kongres, boleh meningkatkan pendapatan baharu sehingga AS$360 bilion dalam tempoh 10 tahun, kata dokumen yang dipetik oleh Washington Post.

Matlamat lama politik kiri, rancangan itu secara mendadak boleh mengubah cukai yang dibayar oleh jutawan AS.

Sebagai contoh, taikun teknologi Elon Musk perlu membayar cukai tambahan AS$50 bilion, dan pengasas Amazon Jeff Bezos lebih kurang AS$35 bilion, menurut pengiraan oleh ahli ekonomi Universiti California Berkeley Gabriel Zucman, dipetik oleh Washington Post. – AFP, 27 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen