Houthi lancar serangan dekat litar F1 Jeddah


Serangan pemberontak Yaman ke atas loji simpanan Arab Saudi di Jeddah tidak jauh dari litar F1. – Gambar Twitter, 26 Mac, 2022.

SERANGAN pemberontak Yaman ke atas loji simpanan minyak Arab Saudi mencetuskan kebakaran besar di fasiliti itu yang terletak berhampiran litar Formula Satu (F1) Jeddah.

Ia ketika sesi latihan perlumbaan F1 di litar berkenaan.

Kepulan asap dapat dilihat dan latihan kedua perlumbaan itu ditangguhkan.

Kejadian itu salah satu daripada 16 serangan dron dan peluru berpandu oleh pemberontak yang disokong Iran di sekitar Arab Saudi.

Gelombang serangan itu berlaku menjelang ulang tahun ketujuh campur tangan tentera gabungan pimpinan Arab Saudi terhadap pemberontak di Yaman.

Harga minyak melonjak sejak pencerobohan Russia ke atas Ukraine mencetuskan kebimbangan bekalan, mendorong kuasa Barat merayu Arab Saudi dan negara anggota lain dalam Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (Opec) untuk meningkatkan pengeluaran.

Serangan pada Jumaat menyasarkan “kemudahan Aramco di Jeddah dan kemudahan penting di ibu kota musuh (Arab) Saudi, Riyadh”, ciap jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree.

Gabungan pimpinan Arab Saudi yang memerangi pemberontak yang disokong Iran mengesahkan serangan di Jeddah.

Pemberontak kerap melancarkan serangan sama ke atas kemudahan minyak Saudi tetapi serangan Jeddah ketika penonton dari seluruh dunia datang menonton perlumbaan Grand Prix F1.

Jurucakap F1 memberi jaminan “acara itu boleh diteruskan seperti yang dirancang”. – AFP, 26 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen