Biden jumpa menteri Ukraine di Warsaw


Presiden AS Joe Biden bertemu Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba dan Menteri Pertahanan Oleksii Reznikov di ibu negara Poland. – Gambar EPA, 26 Mac, 2022.

PRESIDEN Amerika Syarikat, Joe Biden bertemu dengan dua menteri Ukraine dalam rundingan bersemuka pertama antara presiden AS dan pegawai tertinggi Kyiv sejak pencerobohan Russia bermula.

Kunjungan dua menteri iaitu Menteri Luar, Dmytro Kuleba dan Menteri Pertahanan, Oleksii Reznikov dilihat lawatan luar paling jarang sekali dilakukan sebagai tanda keyakinan tinggi dalam usaha menentang tentera Russia.

Pertemuan itu berlangsung di Hotel Marriott di pusat bandar Warsaw yang bertentangan dengan stesen kereta api Warsaw yang mana terdapat aliran berterusan pelarian Ukraine sejak konflik bermula.

Pertemuan itu turut disertai Setiausaha Negara AS, Antony Blinken dan Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin, selain kelihatan latar belakang bendera Ukraine dan AS.

Kali terakhir Biden bertemu Kuleba di Washington pada 22 Februari lalu, dua hari sebelum Russia memulakan serangan.

Kemudian Kuleba bertemu dengan Blinken di Poland bersebelahan sempadan dengan Ukraine pada 5 Mac lalu.

Biden selesai melakukan kunjungan dua hari di Poland selepas bertemu dengan pemimpin Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Brussels awal minggu ini.

Semalam, Biden bertemu dengan tentera AS yang ditempatkan di Poland berhampiran sempadan Ukraine dan dengan pekerja bantuan membantu pelarian melarikan diri daripada konflik.

Beliau memuji orang Ukraine kerana menjadi ‘tulang belakang’ menentang pencerobohan Russia dan membandingkan penentangan mereka dengan protes prodemokrasi Dataran Tiananmen di China pada 1989.

“Ini adalah Dataran Tiananmen kuasa dua,” katanya sambil menyatakan Presiden Russia, Vladimir Putin, sebagai seorang penjenayah perang. – AFP, 26 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen