Salah maklumat cetus ‘Perang Dunia Ketiga’, kata pegawai Ukraine


Naratif Russia tentang perang menjadi salah satu elemen utama yang membuatkan rakyat Ukraine lebih berazam untuk menentang, kata Timbalan Menteri Luar Emine Dzhaparova. – Gambar EPA, 26 Mac, 2022.

KONFLIK Ukraine mencetuskan “Perang Dunia Ketiga” akibat maklumat yang salah, kata seorang pegawai negara itu hari ini sambil pakar memberi amaran tentang kesukaran meyakinkan Russia tentang apa yang tentera mereka lakukan.

Peperangan Russia ke atas Ukraine juga memaksa perubahan besar dalam cara syarikat teknologi utama mengendalikan maklumat, pakar memberitahu Forum Doha di mana Timbalan Menteri Luar Emine Dzhaparova mengemukakan kes negaranya.

Russia meletakkan sumber yang besar untuk menyampaikan mesejnya di media dan di platform media sosial bahawa pencerobohannya ke atas Ukraine adalah “operasi khas”, manakala Presiden Vladimir Putin berkata ia berhasrat untuk “menafikan Ukraine”.

“Saya percaya kita memasuki Perang Dunia Ketiga, bukan konflik konvensional tetapi perang maklumat,” kata Dzhaparova yang juga bekas wartawan.

“Ia seperti sinaran – anda tidak merasakannya, anda tidak menyentuhnya, tetapi ia memberi kesan kepada anda.”

Dzhaparova berkata naratif Russia tentang perang menjadi salah satu elemen utama yang membuatkan rakyat Ukraine lebih berazam untuk menentang.

Beliau berkata adalah masalah besar untuk meyakinkan rakyat Russia dan negara lain kerana keberkesanan kempen negara itu yang meningkat sejak merampas Crimea lapan tahun lalu.

Selain pemimpin politik, Kremlin menggunakan media sosial, ahli sukan dan pemuzik popular untuk menyampaikan mesej, katanya.

“Rusia sangat inventif dalam bidang ini,” menurut menteri yang memaklumkan negara lain sedang bergelut untuk menanganinya kerana “orang ramai tidak tahu siapa perlu dipercayai.”

“Senjata terbaik adalah kebenaran,” katanya.

“Tetapi terdapat berjuta-juta rakyat Russia yang tidak mahu percaya. Apabila anda menunjukkan fakta kepada mereka, ia tidak berkesan.” – AFP, 26 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen