Pelajar perempuan Afghanistan bantah penutupan sekolah


Kerajaan Afghanistan mengumumkan pembukaan semula sekolah kepada pelajar perempuan, namun ia terpaksa ditutup hanya beberapa jam selepas dibuka pada hari pertama. – Gambar EPA, 26 Mac, 2022.

KIRA-KIRA 24 pelajar perempuan dan wanita melaungkan “buka sekolah” dalam satu demonstrasi di ibu negara Afghanistan bagi membantah keputusan kerajaan Taliban menutup sekolah menengah hanya beberapa jam selepas dibuka semula minggu ini.

Ribuan pelajar perempuan melahirkan rasa gembira di seluruh Afghanistan dan berpusu-pusu ke institusi pembelajaran pada Rabu – tarikh yang ditetapkan kementerian pendidikan untuk kelas disambung semula.

Bagaimanapun, pihak kementerian membuat keputusan mengejut dengan menarik balik pembukaan sekolah hanya beberapa jam selepas dibuka. Ini menyebabkan golongan muda mengatakan mereka dikhianati dan kerajaan asing meluahkan kemarahan.

“Buka sekolah! Keadilan, keadilan!” laung penunjuk perasaan hari ini. Beberapa penunjuk perasaan dilihat membawa buku sekolah ketika mereka berkumpul di dataran bandar di Kabul.

Mereka memegang sepanduk yang bertulis: “Pendidikan adalah hak asasi kami, bukan rancangan politik” ketika mereka berarak dalam tempoh singkat dan kemudiannya bersurai ketika pejuang Taliban tiba di tempat kejadian.

Bantahan itu adalah yang pertama diadakan oleh golongan wanita dalam beberapa minggu selepas Taliban menangkap ketua kumpulan demonstrasi awal yang diadakan selepas mereka kembali berkuasa pada Ogos.

Pihak kerajaan Islam itu tidak memberikan alasan yang jelas berhubung keputusan mereka, yang dibuat selepas mesyuarat pegawai kanan pada lewat Selasa di bandar selatan Kandahar, pusat pentadbiran Taliban dan kerohanian.

Ia disusuli kerja keras beberapa negara asing dalam rancangan menyokong pembayaran gaji guru.

Pelajar perempuan di sekolah menengah Afghanistan kini tidak mengikuti pembelajaran selama lebih tujuh bulan.

“Malah Nabi (Muhammad) berkata setiap orang mempunyai hak untuk mendapat pendidikan, tetapi Taliban merampas hak ini daripada kami,” kata anak muda Nawesa pada demonstrasi itu, yang dianjurkan dua kumpulan hak asasi wanita.

“Taliban tidak boleh menindas wanita Afghanistan,” kata seorang lagi penunjuk perasaan, Laila Basim. – AFP, 26 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen