RIBUAN penduduk berpindah dari rumah mereka yang terletak berhampiran gunung berapi Filipina, susulan letusan abu dan wap ratusan meter ke udara.
Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina berkata, gunung berapi Taal, yang terletak di tasik di selatan Manila, meletus pantas pada jam 7.22 pagi tadi.
Itu tanda amaran letusan mungkin berlaku lagi, dikatakan boleh mencetuskan aliran deras gas, abu dan serpihan berbahaya serta tsunami.
Agensi seismologi sangat mengesyorkan penduduk berdekatan tasik dipindahkan, selain meningkatkan amaran kepada tahap tiga.
Letusan awal diikuti aktiviti freatomagmatik hampir berterusan yang menyebarkan kepulan hingga 1,500 meter ke udara.
Saintis di agensi itu, Princess Cosalan berkata, letusan freatomagmatik berlaku apabila batu cair bercampur air bawah tanah atau permukaan, seperti menuang air pada kuali panas.
Jurucakap pertahanan awam wilayah, Kelvin John Reyes berkata, penduduk di lima kampung diarah mengosongkan rumah masing-masing.
Menurut data rasmi, lebih 12,000 orang mendiami penempatan itu dan polis dikerah bagi menghalang orang ramai memasuki kawasan berisiko tinggi.
Taal antara gunung berapi paling aktif di negara yang dilanda letusan dan gempa bumi secara berkala kerana terletak di lingkaran gunung berapi Pasifik, iaitu zon aktiviti seismik aktif.
Orang awam ditegah memasuki pulau gunung berapi itu sejak Januari 2020, kawasan yang pernah menjadi penempatan ribuan penduduk. – AFP, 26 Mac, 2022.
Komen