PERANCIS, Greece dan Turki akan bekerjasama memindahkan penduduk di bandar Mariupol, Ukraine, kata Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Jumaat.
Bercakap pada akhir sidang kemuncak Kesatuan Eropah (EU) di Brussels, Macron berkata ketiga-tiga negara itu akan menjalankan “operasi kemanusiaan luar biasa” bagi mengeluarkan semua warganya yang ingin meninggalkan bandar pelabuhan yang terkepung itu, lapor Agensi Anadolu.
Beliau menambah operasi itu akan dilaksanakan “dengan sebaik mungkin.”
Macron turut mengulangi gesaan agar Rusia meletakkan senjatanya untuk mengakhiri krisis Ukraine.
“Objektif dan obsesi kami ialah gencatan senjata di seluruh wilayah (Ukraine),” menurut Presiden Perancis itu.
Mengelakkan krisis tenaga turut menjadi agenda Macron disamping memberi tumpuan kepada isu kenaikan harga dalam sektor itu.
Beliau berkata negara anggota EU akan berusaha mengurangkan harga elektrik dan gas.
Macron turut menyentuh mengenai risiko kekurangan makanan yang mungkin berlaku, serta mengumumkan usaha selanjutnya untuk menghapuskan “disfungsi pasaran” di samping memberi amaran bahawa kekurangan makanan di seluruh dunia boleh berlaku dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang jika isu itu gagal ditangani. – Bernama, 26 Mac, 2022.
Komen