LEMBAGA Eksekutif IMF pada Jumaat meluluskan pinjaman bernilai AS$44 bilion kepada Argentina bagi membantu negara terjejas teruk ekonomi itu dengan AS$9.7 bilion dana akan disalurkan serta merta.
Peminjam berpengkalan di Washington itu berkata pembiayaan “bertujuan menyediakan Argentina dengan sokongan baki pembayaran dan bajet” dan juga “mengukuhkan kemampanan hutang, menangani inflasi tinggi, menambah rizab, menangani jurang sosial dan infrastruktur dan menggalakkan pertumbuhan inklusif.”
Perjanjian itu adalah “langkah ke depan” untuk “penstabilan mikroekonomi” dan “pemulihan ekonomi” negara, kata Menteri Ekonomi Argentina Martin Guzman.
Ia juga “membenarkan negara untuk terus mencipta persekitaran untuk terus mengukuhkan pemulihan ekonomi yang sedang berjalan,” kata Guzman kepada AFP di Paris.
Senat Argentina bulan lepas meluluskan perjanjian dengan Dana Kewangan Antarabangsa itu untuk penstrukturan semula hutang bernilai AS$45 bilion, legasi hutang ditinggalkan pentadbiran bekas presiden Mauricio Macri pada 2018.
Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva juga mengakui masalah negara itu yang bergelut dengan peningkatan mendadak harga dan pendapatan rendah.
Pada 2018, di bawah kerajaan haluan kanan Macri, IMF meluluskan pinjaman terbesar bernilai AS$57 bilion kepada Argentina, negara itu sudah menerima AS$44 bilion daripadanya.
Pengganti Macri, Alberto Fernandez, enggan menerima bakinya dan mahu melakukan rundingan semula pembayaran hutang.
Bayaran berjumlah AS$19 bilion dan AS$20 bilion perlu dibuat tahun ini, jangka masa yang dianggap mustahil oleh kerajaan semasa.
Argentina baharu sahaja keluar daripada krisis ekonomi selama tiga tahun dan masih bergelut dengan kadar kemiskinan yang tinggi, mencecah 50.9% tahun lepas.
Program terbaru selama 30 bulan dan pembiayaan ini dibuat di bawah Kemudahan Pelanjutan Dana, menurut kenyataan IMF.
Di bawah perjanjian baharu itu, yang ke-13 ditandatangani Buenos Aires berdama IMF sejak menjadi negara demokrasi pada 1983, pembayaran akan dibuat bermula 2026 hingga 2034 selepas tempoh bertenang beberapa tahun. – AFP, 26 Mac, 2022.
Komen