Suruhanjaya EU diberi mandat beli gas secara bersama


Eropah berdepan krisis harga minyak dan gas selepas Rusia menceroboh Ukraine. – Gambar AFP, 26 Mac, 2022.

PEMIMPIN Kesatuan Eropah bersetuju untuk pegawai di Brussels membuat pembelian gas secara bersama bagi blok itu ketika ia bergelut dengan peningkatan harga disebabkan perang Rusia-Ukraine, kata Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Jumaat.

“Apa yang kami putuskan, buat kali pertama, adalah Suruhanjaya Eropah akan mendapat mandat untuk melakukan perolehan bersama, sama seperti yang dibuat untuk pembelian vaksin ketika krisis Covid,” kata Macron kepada wartawan selepas Sidang EU di Brussels.

Perbincangan isu tenaga mendominasi sesi terakhir sidang dua hari itu, yang pada Khamis dikhaskan untuk menunjukkan sokongan Barat melawan Rusia yang turut dihadiri Presiden AS Joe Biden.

Pada Jumaat, Biden dan Ketua Suruhajaya Eropah Ursula von der Leyen mengumumkan pelan untuk Washington dan Brussels bekerjasama bagi memperolehi sumber tenaga dan alternatif lain bagi AS dan Eropah ketika ia mengurangkan kebergantungan kepada bekalan tenaga dari Rusia.

Keputusan rasmi pada hari kedua persidangan menyatakan yang pelan pembelian bersama untuk gas dan lain-lain itu bagi membolehkan Suruhanjaya mengekang kesan peningkatan harga adalah bersifat “sukarela” dan “terhad”.

Pembelian bersama gas juga akan dibuka untuk Ukraine dan negara bukan EU termasuk Rantau Balkan, Georgia dan Moldova.

Pemimpin EU mengakui yang keperluan tenaga 27 negara ahlinya juga berbeza.

Beberapa negara di timur sangat bergantung kepada bekalan tenaga Rusia tetapi negara lain seperti Sepanyol dan Portugal kurang bergantung. – AFP, 26 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen